Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor menegur amalan sesetengah tentera termasuk berpangkat jeneral yang mencium tangan menteri dalam urusan rasmi yang disifatkan tidak sesuai.

“Saya nak tegur budaya cium tangan menteri ini, tolong hentikan. Ibu bapa kita tak apa, tapi cium tangan Menteri Pertahanan ini tak betul,” tegasnya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas tentera juga rasa kecewa dengan isu kelewatan perkhidmatan kesihatan kepada veteran tentera termasuk yang tidak berpencen.

Beliau mendakwa, masih terdapat veteran warga emas yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan ubat sekali gus menjejaskan kebajikan mereka.

“Soalan-soalan ini selalu saya bangkitkan tapi jawapan yang diberikan kepada saya selalunya sangat ‘comel-comel’ belaka.

“Dua hari lepas, saya pergi ke Hospital Tengku Mizan, saya tengok veteran tunggu sampai tiga jam untuk ambil ubat. Orang tua-tua dah bertongkat semua. Apa jadi ini?” soalnya.

Menurut Khlir, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu segera diperbetulkan oleh pihak kementerian bagi memastikan veteran mendapat layanan sewajarnya.

Teguran beliau kemudian dijawab oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Adly Zahari yang memberi penjelasan mengenai usaha kementerian menjaga kebajikan veteran.

Adly berkata, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera bertanggungjawab memastikan semua veteran sama ada berpencen atau tidak berpencen serta tanggungan mereka, menerima perkhidmatan kesihatan secara percuma.

Menurutnya, isu berkaitan perkhidmatan kesihatan veteran sering dibangkitkan dalam pertemuan bersama persatuan veteran termasuk rungutan mengenai kelewatan.

Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah.

“Yang soalan kedua tentang cium tangan ini saya tidak dapat jawablah. Mungkin ini adalah peringatan kepada semua.

“Tapi biar saya jawab soalan berbangkit nombor satu itu. Sepanjang saya berkhidmat di Kementerian Pertahanan, perkara ini memang ada dibangkitkan oleh veteran sendiri termasuk yang tidak berpencen,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan terdapat kes tanggungan veteran menerima bantuan rawatan sehingga ratusan ribu ringgit termasuk satu kes melibatkan kos rawatan isteri veteran yang mencecah RM250,000.

Menurut Adly, sama ada rawatan disediakan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran atau Kementerian Kesihatan, kerajaan akan memastikan semua veteran diberi keutamaan.

“Dalam kes tertentu memang ada berlaku kelewatan namun kita sedang menyelaraskan dengan KKM supaya perkhidmatan kesihatan kepada veteran, sama ada berpencen atau tidak, dapat diberikan dengan lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata, kementerian akan terus memperkemas sistem sedia ada serta memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan kebajikan veteran sentiasa terpelihara dan tidak terpinggir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast