KUALA LUMPUR – Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa tidak mempertimbangkan pengurangan hukuman terhadap Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang didakwa terus mencabar kepimpinan parti walaupun tindakan disiplin telah diambil.
Ketua Bersatu Bahagian Tasik Gelugor, Azmi Alang berkata, pendirian itu penting bagi memastikan disiplin organisasi terpelihara dan keputusan Lembaga Disiplin tidak dipermainkan melalui proses rayuan.
“Sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tasik Gelugor dan ADUN Teluk Air Tawar, saya ingin memohon pertimbangan Lembaga Rayuan agar tidak meringankan rayuan Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kedua-duanya bukan sahaja gagal menunjukkan keinsafan malah terus menyerang kepimpinan tertinggi parti secara terbuka sehingga menjejaskan kesatuan dalaman.
“Sebaliknya terus secara terbuka dan berterusan menyerang Institusi Presiden serta kepimpinan sah parti. Sikap ini jelas bercanggah dengan prinsip disiplin dan kesetiaan serta membuktikan bahawa hukuman yang dikenakan masih belum memberi kesan pembetulan,” katanya.
Azmi menegaskan, rayuan tidak boleh dijadikan alat untuk mewajarkan penentangan terhadap parti, dan mencadangkan hukuman sedia ada dilaksanakan sepenuhnya sebelum sebarang pertimbangan semula dibuat.
“Rayuan bukan hak automatik dan tidak boleh dijadikan alat untuk melegitimasi penentangan atau sabotaj terhadap parti. Seseorang yang masih menyerang kepimpinan tidak layak menuntut ihsan melalui proses rayuan.
“Justeru, saya mencadangkan agar mereka diwajibkan menjalani sepenuhnya fasa hukuman yang telah diputuskan oleh Lembaga Disiplin sebelum sebarang rayuan dipertimbangkan,” katanya.
Beliau turut mendakwa kedua-dua individu itu tidak lagi mempunyai kedudukan moral untuk menggunakan nama parti atau gabungan serta menggesa mereka dipindahkan ke blok Bebas di Parlimen.
“Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang hak, mandat atau maruah politik untuk terus menggunakan nama Bersatu atau Perikatan Nasional. Kami mendesak Ketua Pembangkang supaya mengeluarkan mereka daripada senarai Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan memindahkan mereka ke kerusi Ahli Parlimen Bebas,” katanya.
Azmi berkata, bantahan terhadap Wan Saiful bukan perkara baharu kerana akar umbi Tasik Gelugor sebelum ini telah menyuarakan keraguan terhadap pencalonannya.
“Untuk rekod, jauh sebelum pemecatan Wan Saiful… pendirian akar umbi ini diabaikan dan apa yang berlaku hari ini membuktikan kebimbangan tersebut adalah berasas,” katanya.
Sebelum ini, Wan Saiful dilaporkan menyatakan Presiden Bersatu boleh melepaskan jawatan secara sukarela tanpa Perhimpunan Agung Khas (PAK), dengan merujuk peruntukan perlembagaan parti. – MalaysiaGazette
















