KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh usaha mendidik generasi muda mengenai bahaya rasuah menerusi kolaborasi strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Program Jelajah Wira Anti Rasuah (WAR) Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Zon Utara 2026 di MRSM PDRM Kulim, Kedah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, pelaksanaan program WAR sejak lebih sedekad lalu mencerminkan komitmen berterusan agensi terbabit dalam mendekati golongan pelajar bagi melahirkan generasi kepimpinan masa depan yang berintegriti dan bebas rasuah.
Menurutnya, penganjuran di MRSM PDRM Kulim merupakan siri pertama bagi tahun ini dan yang ke-31 sejak program tersebut diperkenalkan, sebelum diteruskan di Zon Timur dan Zon Selatan dengan penglibatan bersama PDRM serta MARA.
“Kecemerlangan intelek tanpa integriti adalah satu kegagalan yang berbahaya. Justeru program WAR ini bukan bertujuan untuk menakutkan para pelajar MRSM sebaliknya sebagai suatu platform membentuk keberanian moral, memupuk sifat amanah serta menanam nilai kejujuran sebagai prinsip hidup yang selari dengan seruan Kempen Keep Malaysia Clean oleh SPRM,” katanya.
Beliau menegaskan, integriti perlu dipupuk sejak di bangku sekolah melalui tindakan kecil yang mencerminkan nilai jujur dan amanah dalam kehidupan seharian.
“Integriti bukan sesuatu yang diuji apabila kita berkuasa, tetapi dibentuk ketika kita masih belajar membuat pilihan kecil. Kejujuran ketika peperiksaan, amanah dalam tugasan, dan keberanian menolak jalan mudah yang salah — itulah permulaan kepada seorang pemimpin yang sebenar,” tegasnya.
Ahmad Nizam berkata, penyertaan PDRM buat julung kali dalam program seumpama itu hasil cetusan idea Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, memberi nilai tambah signifikan melalui perkongsian perspektif berkaitan kesan jenayah, salah guna kuasa serta pengalaman penguatkuasaan undang-undang.
Program tersebut turut diisi dengan slot forum melibatkan guru serta kakitangan MRSM PDRM Kulim, MRSM Taiping, MRSM Kepala Batas dan MRSM Transkrian dengan menampilkan dua panel jemputan iaitu Psk Wan Noorul Hisyam Awang@Nawi daripada SPRM dan DSP Nazaruddin Ibrahim dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Kedah.
Dalam masa sama, sesi interaksi bersama pelajar dijalankan serentak dengan penglibatan 643 pelajar tingkatan satu hingga lima di Dewan Sri Lanang sebagai sebahagian usaha memperluas kesedaran integriti di peringkat akar umbi.
Turut hadir SAC Amran Yakob, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Kedah; Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Shahrizal Mohd Saderi; serta Ketua Unit Integriti MARA, Shuhaimi Man. – MalaysiaGazette
















