Muhammad Suffi menyampaikan medal kepada rakan media dan rakan strategik yang menyertai acara menembak sempena Ulang Tahun Maritim Malaysia yang ke 21 di Lapang Sasar FRU, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Cubaan memindahkan minyak mentah bernilai lebih RM512 juta secara haram di kawasan perairan yang mempunyai blind spot dikesan sebagai antara taktik digunakan dalam kes penahanan dua kapal tangki di perairan negeri itu pada 29 Januari lalu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan mereka memilih kawasan berkenaan bagaimanapun tidak menghalang pihak Maritim daripada mengesan aktiviti pemindahan tersebut.

Hasil siasatan lanjut mendapati minyak mentah berkenaan berasal dari Iraq dan pengesahan itu diperoleh hasil semakan bersama syarikat perkapalan berkaitan.

“Pemindahan itu melibatkan kapal tangki bersaiz besar (super tanker) dan dipercayai dirancang mengambil masa sekitar empat hari, namun tindakan penguatkuasaan berjaya dibuat pada hari kedua operasi.

“Pemindahan oleh kapal tersebut dibuat kali pertama namun kita tidak menolak kemungkinan aktiviti sebegitu dibuat beberapa kali memandangkan ia merupakan kawasan blind spot.

Muhammad Suffi.

“Kita memandang serius risiko pencemaran besar sekiranya berlaku tumpahan minyak dan Maritim akan mempertingkatkan pemantauan secara berterusan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Menembak Bersama Rakan Strategik serta Rakan Media sempena Ulangtahun Maritim Malaysia yang ke-21 di Lapang Sasar FRU, Padang Tembak di sini hari ini.

Tambah Muhammad Suffi, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan bot peronda maritim menerima maklumat pada jam 1 pagi mengenai dua kapal tangki yang bersauh pada kedudukan 24 batu nautika barat laut Muka Head dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal pada 29 Januari lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu melibatkan 53 kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India.

Nilai rampasan minyak mentah dianggarkan lebih RM512 juta manakala nilai kedua-dua kapal tangki berjumlah RM718 juta.

Dua kapten kapal serta vesel berkenaan ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast