JASIN – Pemandu bas sekolah direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Jasin hari ini selepas disyaki meminta seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun memegang dan menghisap ‘anunya’ di dalam bas petang Selasa lalu.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 50 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin bermula hari ini sehingga 11 Februari ini.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Sementara itu, menurut sumber, kejadian terbongkar pada malam Selasa lalu apabila ibu pelajar lelaki berusia 14 tahun itu melihat perubahan sikap anaknya itu seperti menyembunyikan sesuatu.
“Remaja terbabit kemudian menceritakan kejadian didakwa berlaku pada pukul 3 petang hari yang sama ketika mangsa sedang berada di dalam bas bersendirian selepas suspek menurunkan pelajar yang lain.
“Dakwanya, suspek memberhentikan bas di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Kesang sebelum bertindak mencabul mangsa dengan cara memaksanya memegang dan menghisap kemaluan pemandu lelaki berusia 50 tahun itu.
“Pelajar terbabit terpaksa menuruti kemahuan suspek selama kira-kira lima minit selepas lelaki itu bertindak mengunci pintu bas.
“Selepas ‘sesi’ berkenaan tamat, baharulah suspek membuka kunci pintu bas dan membenarkannya pulang,” katanya.
Sumber berkata, ibu mangsa berusia 39 tahun yang juga seorang guru kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kesang malam tadi.
“Pol 59 telah dikeluarkan kepada mangsa untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Melaka manakala suspek ditahan untuk permohonan reman hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















