Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tampil menjelaskan kekeliruan berhubung kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka susulan dakwaan beliau tidak meletakkan jawatan.

Menurut beliau, persepsi tersebut timbul kerana segelintir pihak hanya membaca tajuk berita tanpa memahami kandungan penuh laporan sehingga menimbulkan salah tafsir mengenai keadaan sebenar.

“Saya nak beritahu, ramai yang kata drama, kata kita tipu. Sebab apa? Dia baca tajuk saja tanpa baca penuh. Inilah level geng-geng belah sana,” katanya dalam satu video di Facebook hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengulas laporan media semalam berhubung status beliau sebagai Exco kerajaan negeri Melaka, yang masih menjadi perbincangan umum.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh semalam berkata, status Akmal kekal sebagai Exco kerana surat peletakan jawatan masih belum dibincangkan secara rasmi antara beliau dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam sekali gus tiada keputusan dimuktamadkan.

Menurut Akmal, surat peletakan jawatan saya telah dihantar kepada Tuan Yang Terutama melalui Ketua Menteri Melaka. Tapi disebabkan Tuan Yang Terutama bercuti dan Ketua Menteri pula ada lawatan kerja ke luar negara, belum ada perbincangan rasmi dibuat.

Akmal menjelaskan, pelantikan atau pelepasan jawatan Exco tertakluk kepada Perlembagaan negeri dan hanya boleh diputuskan selepas perbincangan rasmi diadakan antara pihak berkaitan.

“Jawatan Exco dilantik oleh Tuan Yang Terutama mengikut perlembagaan negeri. Jadi selagi tak ada perbincangan, memang tak ada keputusan lagi. Insya-Allah minggu ini akan ada perbincangan dan keputusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan akan menghormati proses institusi dan menunggu keputusan rasmi tanpa membuat sebarang spekulasi atau tindakan tergesa-gesa.

“Saya bukan macam pemimpin yang hanya sembang tapi takut buat keputusan. Saya hormati institusi. Selagi tiada keputusan rasmi, jawatan Exco saya boleh dikosongkan sementara menunggu keputusan,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Ab Rauf mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Akmal selepas mesyuarat mingguan Exco di Port Dickson, manakala Akmal sebelum itu mengumumkan hasrat berundur sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan ketika ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda UMNO pada 15 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast