P. Waytha Moorthy.

Isu Kuil Jadi Senjata Politik: PAS Didakwa Terjebak Naratif Merugikan Parti

Waytha Moorthy dakwa isu kuil Hindu dipolitikkan, Pas terperangkap naratif cetus ketegangan agama

KUALA LUMPUR — Parti Kemajuan Malaysia (MAP) mendakwa isu kuil Hindu sengaja dipolitikkan dan dimanipulasi oleh “tangan-tangan ghaib” yang berkait dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, P. Waytha Moorthy mendakwa, langkah itu adalah bagi mencetuskan ketegangan agama dan mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai isu serius yang membelenggu kerajaan, sekali gus menyebabkan Pas terperangkap dalam perangkap politik yang merugikan parti itu sendiri.

Katanya, isu kewujudan kuil Hindu bukanlah isu baharu atau ancaman terhadap hak orang Melayu, umat Islam dan kedaulatan undang-undang, sebaliknya berpunca daripada masalah sejarah sejak era penjajahan British serta kegagalan dasar kerajaan sebelum dan selepas kemerdekaan.

“Keadaan menjadi semakin parah sejak 1980-an apabila lebih 800,000 pekerja ladang berketurunan India dipindahkan secara paksa dari estet, menyebabkan ratusan kuil yang telah wujud sehingga 200 tahun di atas tanah ladang dirobohkan atau terus tidak diiktiraf, terutama apabila kawasan ladang diambil alih kerajaan dan dijual kepada pemaju swasta.

“Kegagalan kerajaan menjelaskan realiti dan kerumitan undang-undang berkaitan isu ini secara jujur telah menyemarakkan salah faham, rasa tidak percaya serta cemuhan tidak berasas terhadap masyarakat India,” dakwa Waytha Moorthy.

Beliau turut menuduh wujud usaha terancang untuk melabelkan kuil Hindu sebagai simbol perampasan tanah, ketidakpatuhan undang-undang dan penghinaan terhadap orang Melayu yang menurutnya bertujuan menyemai prejudis dalam kalangan masyarakat Melayu Islam demi kelangsungan politik tertentu.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy turut mendakwa, Pas telah dimanipulasi untuk menyokong naratif tersebut, sekali gus mengakibatkan kehilangan sokongan masyarakat India dan mewujudkan persepsi bahawa parti itu cenderung kepada permusuhan agama, bukannya keadilan.

Katanya, episod ini dipercayai bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada beberapa dakwaan serius terhadap Anwar, termasuk isu perjanjian dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang didakwa tidak berperlembagaan, persoalan kedaulatan negara, cabaran terhadap pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri serta beberapa dakwaan lain yang kini menjadi perhatian umum.

Katanya lagi, kepercayaan masyarakat India terhadap Anwar kini berada pada tahap paling rendah, sehingga mendorong MAP memberi sokongan penuh kepada Perikatan Nasional (PN) dan menggerakkan pengundi India menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyeru Pas agar menilai semula pendirian mereka dengan berani dan berhemah serta menggesa masyarakat Melayu Islam menolak naratif yang berasaskan separuh kebenaran dan prejudis, sebaliknya berpegang kepada fakta, keadilan dan kebenaran demi perpaduan nasional.
— MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa punya merepek fakta dia petik. Hanya kerana rumah ibadat dahulu kala dirobohkan diestet estet, apa kena mengena dengan tindakan bina rumah ibadat baru kat tanah orang lain? kalau berlaku 200 tahun dahulu, tahun lepas baru bina atas tanah orang, apa signifikan nya? pastu asik salahkan orang lain. tak juga salahkan sikap orang orang sendiri yang ambil kesempatan peribadi ceroboh hak orang lain. Ini bukan masalah akibat estet diroboh 200 tahun dahulu tp sikap orang orang tersebut sejak 200 tahun dahulu hingga hari ini yang tak pernah maju.

Comments are closed.