KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi disaran menubuhkan tabung bencana komoditi yang berfungsi mengelola bantuan krisis penyakit bagi tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah.
Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tabung itu wajar dikendalikan secara berpusat supaya penyampaian bantuan, pemantauan dan tindakan susulan terhadap krisis penyakit tanaman komoditi dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.
Dalam masa sama, belia yang juga Timbalan Presiden Pas menyarankan kerajaan memperkukuh sokongan penyelidikan, memperluas latihan serta khidmat nasihat kepada pekebun kecil, dan memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kawalan penyakit dilaksanakan secara konsisten di peringkat ladang.

Terdahulu, beliau berkongsi mengenai kebimbangan pekebun sawit khususnya di sepanjang laluan Jengka hingga ke Kemaman, Pahang terhadap keadaan ladang kelapa sawit yang terjejas akibat serangan penyakit.
Menurutnya, di beberapa ladang, pelepah pokok kelihatan seolah-olah terbakar dan mengalami kerosakan ketara pada daun.
“Keadaan ini terjadi akibat serangan sejenis alga parasit dan dikenali sebagai penyakit Algal Leaf Spot (ALS).
“Penyakit ini menyebabkan kematian tisu daun, seterusnya mengakibatkan daun gugur dan menjejaskan keupayaan fotosintesis pokok.
“Jika tidak dikawal dengan berkesan, ALS berpotensi menurunkan produktiviti ladang dalam jangka panjang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Tambah Tuan Ibrahim, pokok kelapa sawit terdedah kepada pelbagai penyakit lain dan ALS bukan satu-satunya ancaman kepada industri itu.
Malah, menurutnya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut memaklumkan antara penyakit utama yang menyerang kelapa sawit ialah reput pangkal batang (RPB) dan reput batang atas (RBA) yang disebabkan oleh kulat Ganoderma.
Penyakit-penyakit itu, jelas beliau, boleh menyebabkan pokok menjadi lemah, tidak produktif dan akhirnya mati, sekali gus menjejaskan hasil ladang serta pendapatan pekebun kecil.
“Kesemua penyakit ini wajar dilihat sebagai ancaman besar yang boleh menjejaskan kelangsungan industri sawit dan pendapatan negara.
“Walaupun usaha kawalan dan penyelidikan telah dilaksanakan oleh MPOB, beberapa penambahbaikan masih perlu dipertimbangkan agar pengurusan penyakit dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan menyeluruh, khususnya bagi membantu golongan pekebun kecil,” katanya.
Tambah beliau, tumpuan kepada industri kelapa sawit itu penting memandangkan sektor itu merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan eksport dan guna tenaga negara.
Ujarnya, walaupun Malaysia sedang giat mempelbagaikan struktur ekonominya, sektor itu masih boleh dikategorikan sebagai industri strategik.
Sebagai contoh, jelasnya, nilai eksport minyak dan produk berasaskan sawit seperti yang dilaporkan, sekitar RM95 bilion setahun bagi tempoh 2022 hingga 2024, sekali gus mengesahkan status tersebut.
“Dengan keluasan tanaman kekal sekitar 5.7 juta hektar dan pengeluaran minyak sawit mentah (crude palm oil, CPO) yang dianggarkan mencecah 20 juta tan pada tahun 2025, Malaysia terus berada dalam kelompok pengeluar dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia.
“Selain menyumbang kepada ekonomi negara, industri kelapa sawit juga menjadi sumber rezeki kepada ratusan ribu pekebun kecil di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette















