Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran.

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, isu ‘kuil haram’ timbul apabila sesuatu kawasan dikenal pasti untuk pembangunan semula, tanpa mengambil kira latar sejarah dan tempoh kewujudan tempat ibadat berkenaan.

Menurut beliau, kebanyakan kuil terlibat telah wujud sejak puluhan tahun lalu dan dibina sebelum peraturan perancangan serta undang-undang guna tanah diperkenalkan secara menyeluruh.

“Kuil-kuil ini tidak dibina secara rahsia atau untuk melanggar undang-undang. Ia didirikan berdasarkan keperluan komuniti dan semangat toleransi pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Ujarnya, sepanjang tempoh kewujudan kuil berkenaan, pihak berkuasa silih berganti dan pembangunan berlaku di sekitarnya tanpa sebarang bantahan rasmi.

Tambah beliau, hakikatnya kewujudan tempat ibadat itu diketahui, diterima dan tidak pernah dianggap sebagai masalah sehingga timbul isu pembangunan semula.

Vigneswaran menegaskan, label ‘kuil haram’ memberi gambaran seolah-olah komuniti terlibat telah melanggar undang-undang sejak awal, sedangkan dalam banyak kes, perubahan status berlaku akibat keputusan pentadbiran yang dibuat kemudian.

“Perbezaan ini penting kerana ia menentukan sama ada sesuatu isu ditangani secara adil atau bersifat menghukum,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan amalan toleransi antara kaum dan agama bukan sesuatu yang baharu dalam masyarakat Malaysia.

“Kita sudah lama hidup dengan semangat saling menghormati. Ambil contoh mudah, seperti taman permainan di kawasan perumahan. Dulu dibina untuk kanak-kanak bermain apabila ramai keluarga muda tinggal di situ.

“Apabila demografi berubah dan keperluan masyarakat bertukar, ada kawasan kemudian dijadikan surau. Perubahan ini berlaku tanpa kekecohan, tanpa tuduhan, tanpa dakwaan pencerobohan.

“Semua pihak faham komuniti berkembang dan ruang bersama perlu disesuaikan. Sejarah dihormati, keperluan semasa diraikan. Itulah toleransi sebenar. Bukan untuk dipamerkan, bukan untuk tular di media sosial, tetapi ia sebahagian daripada cara hidup kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga menimbulkan prasangka dan ketegangan antara kaum.

Menurutnya, dakwaan meluas mengenai kewujudan ‘kuil haram’ bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi mencetuskan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu mengambil kira sejarah, tempoh kewujudan serta penerimaan pihak berkuasa sebelum ini bagi memastikan keadilan dan konsistensi pentadbiran.

Sehubungan itu, Vigneswaran menggesa setiap kes ditangani secara berhemah melalui rundingan, penempatan semula, pampasan, pertukaran tanah atau penyediaan tapak alternatif.

Menurutnya, kebanyakan pertikaian melibatkan kuil lama sebenarnya bersifat pentadbiran dan tidak wajar dijadikan polemik awam sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kita boleh menegakkan undang-undang tanpa menafikan sejarah dan maruah mana-mana komuniti. Pembangunan boleh diteruskan tanpa memadam memori bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast