Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) menyampaikan kunci rumah kepada pemilik unit rumah PR1MA di sini hari ini

KUANTAN – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap pemaju sekiranya timbul isu mengenai kelewatan mahupun perkara lain berkaitan pembinaan projek perumahan di bawah seliaannya di negeri ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan mengenal pasti pemaju berkenaan dan menjalankan mediasi bagi mengelakkan projek daripada terbengkalai yang hanya merugikan kerajaan negeri dan rakyat.

“Sekiranya berlaku kelewatan, masalah dan sebagainya, pihak LPHP akan panggil mereka. Kita akan dengar  pelan mitigasi plan mereka dan akan dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

“Ada pemaju yang kita dah ambil tindakan kerana perkara ini tak boleh biarkan. Ini adalah projek rakyat,” katanya.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dengan penerima kunci unit rumah PR1MA Batu 6, Penor, di sini hari ini

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas Majiis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) dan Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3), di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, sehingga 31 Disember 2025, kerajaan negeri melalui LPHP telah menyiapkan sebanyak 29,283 unit rumah melibatkan kos pembangunan berjumlah RM2.2 bilion dengan nilai keseluruhan sebenar pembangunan mencecah RM4.9 bilion serta pulangan kepada nilai berjumlah RM2.7 bilion.

Ia membabitkan sebanyak 9,057 unit rumah PR1MA Pahang, 212 unit Rumah Makmur, 13,873 unit rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), 4,168 unit rumah Program Residensi Ranyat (PRR), 1,188 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP), 384 unit Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA), 121 unit Rumah Mangsa Banjir dan 280 unit rumah Skim Tanah Warisan (STW).

Majiis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) dan Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3), di sini hari ini.

 

“Bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak 1,016 unit rumah PR1MA telah dibina dan pemilik telah mendapat kunci,” tambahnya lagi.

Dalam majlis hari ini, seramai 42 pemilik unit rumah PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor dan 44 pemilik unit rumah PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) menerima pemilikan dan kunci bagi unit kediaman masing-masing.

Pemilik rumah, Muhammad Shahidan Mohd Bakri, 29 bersama isteri, Norzaliya Husna Mahadi, 24 ketika ditemui MalaysiaGazette meluahkan syukur kerana berjaya memiliki seunit rumah di sini, lebih-lebih lagi dengan kehadiran bayi yang baru berusia lima bulan.

Muhammad Shahidan Mohd Bakri, 29 dan isteri, Norzaliya Husna Mahadi, 24 serta bayi mereka ketika Majiis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) dan Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3), di sini hari ini.

“Kalau ikut harga pasaran memang tak mampu lagi beli rumah berkembar macam ni. Kalau macam ni, rasa bersyukur lah dapat beli dengan harga RM150,000 memang berbaloi. Muda-muda dah dapat duduk rumah sendiri,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori memberitahu, mereka sebelum ini menyewa di Maran dengan kadar RM700 sebulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast