KUALA LUMPUR – Seramai 64 sukarelawan yang terdiri daripada 50 mahasiswa dan 11 staf Universiti Malaya menunjukkan semangat luar biasa dengan menanam sebanyak 1,100 anak pokok spesies tempatan di UM Zero Waste Centre (UM ZWC).
Komitmen ini dizahirkan melalui program UMGC x FTS Conservation Project: Urban Forest Initiative pada 3 hingga 4 Januari lalu ini digerakkan oleh Universiti Malaya Green Community (UMGC) di bawah naungan Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum).
Program anjuran UMGC dengan kerjasama Free Tree Society Kuala Lumpur (FTS), UM Sustainable Development Centre (UMSDC), dan American Association of Petroleum Geologists UM Student Chapter (AAPG) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Bangsar Ecological Connector: A Community Driven Rewilding Initiatives’.
Tanaman ini dilaksanakan secara berperingkat dengan 700 anak pokok ditanam pada hari pertama, manakala baki 400 anak pokok menyusul pada hari kedua.
Antara anak pokok spesies tempatan yang ditanam ialah belimbing (Averrhoa carambola L.), rambutan (Nephelium lappaceum) dan pegaga (Centella asiatica).
Koordinator Seksyen Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UM, Muhammad Aimar Adam Roshidi berkata, program ini bukan sahaja bertujuan memelihara kehijauan, malah menjadi wadah pendidikan yang membentuk jati diri dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
“Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan sahaja terhad kepada satu program, tetapi merupakan amanah berterusan yang perlu dipikul oleh setiap individu,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.
Pengarah UMGC, Muhammad Nabil Mohd Sahidan pula menyifatkan para sukarelawan yang terlibat sebagai ‘Wira Alam’ yang telah melabur untuk masa depan yang lebih nyaman.
“Masa terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun yang lalu. Masa kedua terbaik adalah sekarang. Setiap pohon yang kita tanam hari ini adalah pelaburan untuk udara yang lebih bersih bagi generasi akan datang. Saya berharap semangat rewilding ini tidak terhenti di sini, malah dibawa pulang ke rumah dan komuniti masing-masing,” katanya.
Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada rakan strategik dan sesi fotografi bersama para peserta.
Kejayaan Urban Forest Initiative ini bukan sahaja menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13 dan SDG 15), malah menjadi simbol kerjasama erat antara universiti, badan bukan kerajaan dan komuniti dalam memastikan warisan alam terus terpelihara untuk generasi akan datang. – MalaysiaGazette
















