KUALA LUMPUR – Beberapa individu dipercayai peserta himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) ditahan di hadapan kompleks beli belah, Sogo sebelum demonstrasi itu bermula, malam ini.
Tinjauan Malaysia Gazette di lokasi mendapati, kejadian berlaku semasa anggota polis cuba menghampiri kumpulan peserta demonstrasi untuk memberikan nasihat.
Namun, terdapat seorang lelaki dilihat enggan beredar sehingga mencetuskan ketegangan.
Dia kemudiannya dibawa anggota polis beredar dari kawasan tersebut dipercayai untuk tindakan lanjut.
Pihak polis turut memberi peringatan terhadap individu yang tidak mempunyai urusan di kawasan sekitar kompleks membeli-belah itu supaya beredar sebelum seorang wanita ditahan tidak lama kemudian.
Identiti kedua-dua peserta yang ditahan masih belum diketahui.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan, kompleks beli belah Sogo turut diarah menamatkan operasinya lebih awal malam ini.
Kawasan sekitarnya juga dikawal ketat oleh polis dan setakat jam 9.30 malam, Malaysia Gazette mendapati, kesemua peserta himpunan telah pun bersurai dan meninggalkan lokasi.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia menegaskan penganjuran himounan GARAH tidak dibenarkan atas faktor keselamatan awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan.
Sebelum ini dilaporkan, himpunan berkenaan diadakan bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















