SERI KEMBANGAN – Sejak merdeka pada 1957, hubungan dua hala Malaysia-India kini berada pada tahap paling kukuh merangkumi kerjasama ekonomi, digital, pelancongan serta teknologi masa hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara kini giat memperdalam kerjasama dalam bidang strategik seperti semikonduktor, pembuatan termaju, kewangan digital, kecerdasan buatan dan keselamatan siber.
“Dan, saya dengan bangga melihat kebelakangan ini, hubungan Malaysia-India meraih momentum baharu. Dalam kerjasama ekonomi, digital, pergerakan orang ramai dan idea di antara kedua-dua negara.
“Dasar keamanan India pula telah meletakkan ASEAN antara tunjang utama dalam perhubungannya dan Malaysia bangga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa berucap pada Sesi Bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Komuniti India di sini, hari ini.
Tambah Anwar, kenyataan beliau itu dibuktikan menerusi jumlah perdagangan dua hala yang mencecah hampir AS$19 bilion pada 2025 dengan Bharat di India menjadi antara rakan dagangan utama Malaysia manakala Malaysia pula merupakan antara rakan kongsi terbesar di Asean.
Katanya, hubungan baik itu bukan sekadar perdagangan barangan seperti minyak sawit, elektronik, barangan perkilangan, produk petroleum, kejuruteraan dan farmaseutikal.
Malah ia turut mencakupi sektor pelancongan yang mana lebih 1.5 juta pelancong India datang ke Malaysia pada 2025, sekali gus mengatasi paras sebelum pandamik.
“Sekarang, sejajar dengan bermulanya kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Perdana Menteri Modi sendiri menjadi antara pelancong pertama yang tiba dari India,” katanya lagi.
Di majlis yang sama, Anwar berkongsi pengalaman sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat pelbagai kaum termasuk komuniti India.
Katanya, sejak berdekad lalu, orang India tiba ke Malaysia dalam jumlah yang besar untuk bekerja dalam bidang perladangan, membina rel keretapi dan pelabuhan, bekerja di hospital, sekolah dan pejabat kerajaan.
Katanya, bersama-sama “jiran-jiran” Melayu dan Cina, masyarakat India membantu membina asas yang kukuh kepada ekonomi dan negara Malaysia.
Menurut beliau, sumbangan masyarakat India bukan sekadar melalui dasar atau kerangka rasmi, sebaliknya terbina secara organik dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia melalui pendidikan, pekerjaan dan hubungan sosial yang merentas kaum.
“Saya membesar bersama jiran, guru dan rakan sekerja daripada masyarakat India. Kami bersekolah, bersukan dan meraikan perayaan bersama. Beginilah sebenarnya negara dibina,” katanya.
Anwar berkata, warisan India jelas terpahat dalam landskap budaya negara, termasuk kewujudan kawasan Little India di Brickfields dan Pulau Pinang, seni tarian klasik seperti bharatanatyam dan odiss, serta pengaruh dalam muzik, filem, kesusasteraan dan makanan yang membentuk identiti Malaysia berbilang kaum.
Beliau turut menyifatkan, sambutan Deepavali dan Thaipusam sebagai perayaan nasional yang memperkayakan kehidupan rakyat Malaysia, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk negara ini. -MalaysiaGazette
















