KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bukit Bintang hari ini melancarkan Sistem E-Aduan Awam Keadilan Bukit Bintang sebagai platform digital bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan dan maklum balas berkaitan isu setempat sekali gus memperkukuh ketelusan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Ketua Penerangan PKR Cabang Bukit Bintang, Tengku Imran Tengku Zainal Abidin berkata, pelancaran sistem tersebut dilaksanakan menerusi satu majlis Mini Pelancaran Sistem E-Aduan Awam yang turut disertai sesi suai kenal bersama para pengamal media.
Katanya, sistem E-Aduan Awam itu dibangunkan oleh Biro Pengaduan Awam PKR Cabang Bukit Bintang sebagai satu mekanisme digital yang lebih tersusun dan berkesan bagi membolehkan masyarakat mengemukakan aduan, maklum balas serta cadangan berkaitan isu-isu di kawasan Parlimen Bukit Bintang.
“Pelaksanaan sistem tersebut bukan sahaja bertujuan memudahkan urusan rakyat malah berfungsi sebagai mekanisme pemantauan yang lebih sistematik bagi memastikan setiap aduan diteliti dan ditangani secara bertanggungjawab serta berintegriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pendekatan digital menerusi Sistem E-Aduan Awam itu selari dengan semangat reformasi dan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus baik, ketelusan serta kebertanggungjawaban kepada rakyat.
Sehubungan itu, PKR Cabang Bukit Bintang turut merancang untuk menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan awam termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kerjasama tersebut dilihat penting bagi memastikan setiap aduan yang diterima melalui Sistem E-Aduan Awam dapat disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut, khususnya melibatkan isu-isu yang memberi kesan langsung kepada penduduk di Parlimen Bukit Bintang. – MalaysiaGazette
















