PUTRAJAYA – Sebarang pandangan atau kenyataan berkaitan isu penggunaan lafaz seperti “syukur” dan “Alhamdulillah” oleh golongan bukan Islam perlu dirujuk sepenuhnya kepada pihak berkuasa agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pandangan Jabatan Mufti yang berasaskan al-Quran, sunah serta pandangan ulama muktabar perlu dijadikan rujukan utama kerajaan dalam menangani perkara berkenaan.
“Kita merujuk kepada pihak autoriti yang arif dan berkelayakan. Jadi kita menerima nasihat daripada Jabatan Mufti,” katanya dalam sidang media selepas menyertai program MAIWP Run 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu penggunaan kalimah “Alhamdulillah” dan “syukur” yang dibangkitkan Ahli Parlimen PN Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurut Zulkifli, dalam suasana semasa terlalu ramai pihak tampil memberi pandangan sehingga menimbulkan kekeliruan, sedangkan perkara berkaitan agama Islam perlu ditangani secara berhikmah serta berpandukan autoriti sah.
“Sekarang ini terlalu ramai yang bercakap dan memberi pandangan. Tetapi kita ada autoriti. Maka kita serahkan sepenuhnya kepada pihak autoriti,” katanya.
Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil dilaporkan berkata, penggunaan lafaz yang sinonim dengan umat Islam seperti “Alhamdulillah” oleh individu bukan Islam tanpa unsur penghinaan atau mempermainkan agama adalah diharuskan oleh ulama.
Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya difokuskan kepada golongan tertentu semata-mata, sebaliknya perlu difahami dalam konteks pandangan dan perbahasan ulama yang lebih luas.
“Bukan umat Islam menyebut alhamdulillah dalam keadaan tidak ada unsur penghinaan atau mempermainkan agama adalah perkara yang diharuskan kerana ia membawa kebaikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan, pandangan Jabatan Mufti dibuat secara adil dan tidak berat sebelah demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Jabatan Mufti melihat isu ini dari sudut yang paling wajar dan terbaik demi keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya. — MalaysiaGazette
















