Anwar Ibrahim dan Narendra Modi berjabat tangan semasa upacara Sambutan Rasmi ketibaan Perdana Menteri India itu di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. 8 Februari 2026. Foto Pejabat Perdana Menteri.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan India sebagai sebuah negara hebat dan ramah, sambil menekankan bahawa hubungan budaya yang rapat serta kepentingan geopolitik yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Berucap pada mesyuarat delegasi bersama Perdana Menteri India Narendra Modi yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini, Anwar menyuarakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak dalam semua bidang.

“Kami telah membincangkan beberapa isu yang menjadi perhatian, yang saya rasa perlu diperincikan oleh pasukan kami. Tetapi, secara prinsipnya kami menyifatkan India sebagai sebuah negara yang hebat dan ramah, rapat dengan Malaysia dari segi budaya dan tentunya kini dari segi geopolitik,” kata beliau, di sini hari ini.

Anwar berkata, Malaysia menjangkakan kerjasama yang lebih erat dengan India susulan lawatan rasmi dua hari Modi itu, sambil menambah lawatan berkenaan mempunyai makna yang amat besar.

“Secara peribadi, lawatan itu amat signifikan. Lawatan itu juga amat saya nantikan, ia ditangguhkan atas sebab yang munasabah. Tetapi, sambutan yang diberikan tetap meriah dan turut diraikan oleh rakyat Malaysia,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar dan Modi menyaksikan pertukaran beberapa dokumen dua hala yang bertujuan memperkukuh lagi kerjasama institusi antara kedua-dua negara.

Anwar berkata kerjasama antara Malaysia dan India sangat komprehensif dan kedua-dua negara komited untuk melaksanakan perjanjian mereka dengan segera.

“Kami percaya kami boleh melaksanakan dengan segera perkara ini (melalui) komitmen kedua-dua kerajaan, menteri luar masing-masing.

“Kita juga menyaksikan pertukaran 11 dokumen, termasuk memorandum persefahaman (MoU) yang melangkaui perjanjian dua hala biasa kerana kita komited terhadap kerjasama keamanan dan kerjasama dalam semikonduktor, penjagaan kesihatan dan keselamatan,” kata beliau.

Mengenai pendidikan, Anwar berkata terdapat peningkatan dalam program pertukaran pelajar, dengan ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di India dan semakin ramai pelajar India memilih Malaysia.

— LAGI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast