KUALA LUMPUR – Aksi ‘wheelie’ seorang remaja yang menyeret kepalanya di atas jalan raya ketika melalui Jalan Tun Razak di sini mengundang padah apabila ditehan pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kedua-dua remaja yang berusia 18 dan 15 itu ditahan antara jam 2 pagi hingga 2.30 pagi di kediaman berasingan di Sungai Buloh.
Tangkapan itu dibuat oleh JPST KL selepas mengesan video tular berdurasi 14 saat di Facebook yang memaparkan aksi berbahaya dua remaja ketika menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam.
Dalam rakaman video itu, penunggang motosikal terbabit dilihat mengangkat roda hadapan manakala pemboncengnya bertindak melakukan aksi menyeretkan kepala di atas jalan raya.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada 30 Januari antara jam 3.30 pagi hingga 4 pagi.
Video itu mendapat perhatian ramai dengan lebih 1,500 tanda suka dan puluhan komen di Facebook.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi JSPT KL telah menjalankan siasatan serta risikan sebelum berjaya mengesan dan menahan dua lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas motosikal yang digunakan ketika kejadian dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















