SHAH ALAM – Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh supaya tidak mengulas isu pencerobohan tanah dan kewujudan kuil lama secara menyamaratakan tanpa memahami latar belakang sebenar.
Menurutnya, kebanyakan kuil yang kini dipertikaikan telah wujud sejak puluhan tahun lalu, malah ada berusia hampir 100 tahun khususnya di kawasan estet.
Namun, kuil-kuil ini tidak mempunyai dokumentasi rasmi kerana kegagalan pemilik tanah dan pemaju pada masa lalu memperuntukkan tapak secara sah.
“Memang ada kuil yang sudah 90 atau 100 tahun. Kebanyakannya di kawasan estet. Dulu, pemilik tanah dan pemaju tidak sediakan tapak yang betul seperti sekarang. Sebab itu tiada dokumen,” katanya ketika menghubungi MalaysiaGazette pagi ini.
Kata beliau, isu berkenaan berpunca daripada kelemahan pentadbiran terdahulu yang tidak menyelesaikannya secara menyeluruh akhirnya mewujudkan masalah berpanjangan sehingga hari ini.
“Sehingga sekarang, ada kawasan yang belum dapat diselesaikan kerana sebelum ini tiada penyelesaian sempurna. Jadi, tidak adil kalau salahkan kerajaan sekarang semata-mata,” ujarnya.
Beliau turut memberi contoh bagaimana sesetengah kuil lama tidak mempunyai status tanah yang jelas walaupun telah lama beroperasi.
“Kita ada kes di mana kuil sudah lama wujud di kawasan bandar. Apabila semak, rupanya pemaju dulu hanya suruh mereka berpindah tanpa beri tapak yang sah. Ada juga yang ditipu, kononnya akan diberi tanah lain, tetapi akhirnya tidak berlaku,” katanya.
Menurut Papparaidu Veraman, dalam banyak kes, pemilik estet atau pemaju membuat keputusan sendiri tanpa merujuk pihak berkuasa, menyebabkan pengurusan kuil kehilangan hak untuk mempertahankan kedudukan mereka.
“Mereka tidak boleh buat keputusan sendiri. Semua perlu dirujuk kepada pihak berkuasa. Kalau tidak, akhirnya kuil yang jadi mangsa,” jelasnya.
Papparaidu menjelaskan, pada masa kini, setiap projek pembangunan perlu melalui proses semakan ketat sebelum kelulusan diberikan, termasuk memastikan peruntukan tapak rumah ibadat.
“Sekarang, setiap pembangunan perlu hantar pelan dan disemak. Kita pastikan ada tanah sesuai untuk rumah ibadat sebelum kelulusan diberi,” katanya.
Menurut beliau, banyak masalah timbul apabila kawasan estet dibangunkan tanpa perancangan rapi untuk mengekalkan atau memindahkan rumah ibadat yang telah lama wujud.
Selain itu, beliau berkata, sebahagian pengurusan kuil dan masyarakat setempat juga kurang pendedahan mengenai prosedur rasmi berkaitan urusan tanah, termasuk permohonan, dokumentasi dan hak milik.
“Ramai tidak faham proses sebenar. Mereka tidak tahu bagaimana hendak berurusan dengan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau menegaskan segala urusan berkaitan status tanah perlu dibuat melalui Pejabat Tanah dan Daerah, bukannya bergantung kepada sokongan ahli politik.
“Pihak yang berkuasa keluarkan dokumen ialah Pejabat Tanah, bukan ahli politik. Surat wakil rakyat tidak menentukan hak milik, ahli politik datang dan pergi termasuk diri saya sendiri. Semua akan berjanji macam-macam,” ujarnya.
Menurutnya, kekeliruan juga berlaku apabila sesetengah pihak salah tafsir kandungan surat rasmi pihak berkuasa, khususnya perbezaan antara istilah ‘cadangan’ dan ‘peruntukan’.
“Ada yang anggap surat cadangan sebagai kelulusan. Itu yang menyebabkan masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Papparaidu berkata, melabelkan kuil lama sebagai ‘haram’ tanpa memahami sejarah kewujudannya adalah tidak wajar.
“Kuil-kuil ini sudah wujud hampir 100 tahun. Tidak adil untuk terus anggap mereka salah tanpa melihat punca sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya lagi, kerajaan negeri kini sedang mengambil langkah berperingkat bagi menyusun semula isu berkaitan rumah ibadat dan tanah secara lebih sistematik.
“Kita sedang buat pelaksanaan yang betul, tetapi ia perlukan masa kerana isu ini sangat sensitif,” katanya.
Papparaidu turut mengingatkan pemaju dan pemilik tanah supaya tidak membuat keputusan sendiri apabila melibatkan kawasan yang mempunyai rumah ibadat lama.
“Mereka perlu rujuk kepada pihak berkuasa. Tidak boleh bertindak sendiri,” katanya.
Semalam, dalam satu kenyataan, Akmal menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penceroboh tanah, bukannya menahan peserta perhimpunan aman mempertahankan hak mereka.
Menurutnya, sebarang tindakan perlu disertai dengan pemahaman menyeluruh terhadap sejarah, dokumentasi dan proses pentadbiran bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan dalam masyarakat. – MalaysiaGazette
Patutnya polis tahan penceroboh tanah bukannya peserta himpunan – Akmal
















