KUALA LUMPUR – Kampus utama HELP University di Subang Bestari serta Wisma CL di Bukit Damansara selamat untuk diduduki serta digunakan semula.
Menurutnya, university ini telah melantik CHT International, sebuahf irma perunding kejuruteraan yang berpengalaman di rantau Asia-Pasifik, bagi menjalankan penilaian risiko dan keselamatan secara menyeluruh terhadap sistem mekanikal dan elektrikal di kampus utama Subang Bestari serta Wisma CL di Bukit Damansara susulan insiden tragis yang berlaku di kampus Bukit Damansara pada 12 Januari 2026 yang lalu.
Menurutnya, walaupun bangunan-bangunan ini tidak terjejas oleh insiden tersebut, penilaian ini dilaksanakan bagi memastikan ia mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
“HELP University menegaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar, kakitangan serta komuniti kampus kekal sebagai keutamaan tertinggi dan tidak berkompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memperkukuh lagi tahap keselamatan kampus, HELP University akan menubuhkan sebuah Lembaga Penasihat Keselamatan bebas yang dianggotai oleh profesional dan pakar keselamatan berpengalaman.
Katanya, lembaga ini akan meneliti dapatan dan cadangan hasil siasatan pihak berkuasa, Forensic Services Malaysia serta CHT International, dan
seterusnya memberikan panduan bagi memperkukuh rangka kerja keselamatan Help University melalui langkah-langkah praktikal yang sesuai dengan persekitaran pendidikan.
Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen universiti untuk bertindak tegas berdasarkan nasihat pakar serta memperkukuh tadbir urus keselamatan secara berterusan demi melindungi semua warga kampus.
Sementara itu, HELP University sedang menunggu laporan siasatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Forensic Services Malaysia berhubung punca letupan bilik pemampat yang berlaku pada 12 Januari lalu.
Malah, ia juga bekerjasama rapat dengan pemilik bangunan, Amanahraya REIT, serta pengurusan bangunan, Knight Frank, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















