Bangunan Bursa Malaysia. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih asing berjumlah RM15.0 juta, hampir sama seperti minggu sebelumnya sebanyak RM12.8 juta.

MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada satu daripada empat hari dagangan berikutan pasaran ditutup sempena cuti Thaipusam, dengan satu-satunya aliran masuk direkodkan pada Jumaat (RM132.3 juta).

Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Khamis (-RM64.8 juta), manakala Rabu dan Selasa masing-masing merekodkan aliran keluar sebanyak -RM26.8 juta dan -RM25.8 juta.

Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM162.0 juta), perladangan (RM37.0 juta) dan pembinaan (RM34.2 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas yang merekodkan aliran keluar bersih pelabur asing ialah teknologi (-RM54.5 juta), hartanah (-RM45.2 juta) dan utiliti (-RM41.7 juta).

Manakala pelabur institusi tempatan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak -RM36.2 juta selepas dua minggu berturut-turut mencatat pembelian bersih, kata firma penyelidikan itu.

Dalam pada itu, pelabur runcit tempatan kembali menjadi pembeli bersih selepas sembilan minggu berturut-turut mencatat jualan bersih, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM21.2 juta.

Purata volum dagangan harian (ADTV) mencatat penurunan menyeluruh: pelabur runcit tempatan sebanyak -19.7%, institusi tempatan -17.7%, dan pelabur asing -23.5%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast