SEPANG – Seorang pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah persendirian milik Datuk Suhaili Ahmad, tahun lalu.
M. Paramaguru, 49, yang juga pengawal keselamatan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan tanah milik pesara swasta berusia 70 tahun itu tanpa kebenaran, di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pukul 4.45 petang, 19 Jun tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim mencadangkan lelaki itu diberi ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Darshela Hari Raja yang mewakili tertuduh merayu diberi jaminan pada kadar minimum kerana perlu menyara bayi berusia 11 bulan dan seorang lagi anak enam tahun bersama isteri yang juga suri rumah.
Menurutnya, anak guam tidak mempunyai rekod lampau dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis sejak ditahan.
“Dia tidak akan melarikan diri kerana mempunyai pekerjaan dan ahli keluarga di sini malah mematuhi arahan untuk hadir ke mahkamah, pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Khairatul Animah membenarkan lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 12 Mac ini untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan tertuduh ditahan di rumahnya di lokasi sama pada jam 3.30 petang, semalam.
Media turut melaporkan, pemilik tanah persendirian terbabit telah memberi tempoh seminggu kepada pihak pengurusan kuil berkenaan supaya mengosongkan tanah yang diduduki secara haram. – MalaysiaGazette
















