KUALA SELANGOR – Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dalam satu nahas di Kilometer 68, Jalan Klang-Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitenden Azaharudin Tajudin berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam itu, pemandu kereta Proton Saga melakukan pusingan U bagi memasuki simpang di lokasi kejadian.
“Kemudian penunggang motosikal Yamaha Y15ZR yang datang dari arah belakang melanggar bahagian pintu hadapan kiri kereta berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Azaharuddin berkata, kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Azaharuddin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan serta mematuhi peraturan jalan raya.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















