PELABUHAN KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan memberi tumpuan pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara di bawah skim perkhidmatan singkat dan bertenaga bagi kesiapsiagaan penuh agensi itu.
Ketua pengarahnya, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, pengambilan itu melibatkan bekas pegawai tentera yang masih muda dan memiliki kepakaran bersesuaian dengan keperluan AKPS di lokasi tertentu.
“Saya ingin menjelaskan bahawa kita akan mengambil pegawai askar yang bersara dalam skim perkhidmatan singkat, bertenaga dan muda untuk melaksanakan tugasan-tugasan di lapangan.
“Kita juga akan melihat kepakaran masing-masing dan kehendak AKPS ditempat tersebut dan di sini (Pelabuhan Klang) sudah tentu memperlukan tapi dari sudut kerja.
“Mungkin pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang lebih fasih perihal kapal dan sebagainya mungkin mereka sesuai namun perbincangan lanjut antara kami dan pihak ATM,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, beliau hadir bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar membuat lawatan kerja di Tapak Gudang CFS4, di Pelabuhan Barat Klang di AKPS Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Tambah Shuhaily, pihaknya juga memerlukan penggunaan teknologi baharu bagi memudahkan pemeriksaan kargo dan barangan dipintu masuk negara dilaksanakan secara efisen.
“Seperti mana yang kita lihat tadi bila buka container barang kalau orang nak menyudup, dia akan letak benda yang baik di hadapan dan letak benda di belakang. Secara konvensionalnya kita terpaksa memunggah barang ini untuk melihat apa isi kandungan di dalam.
“Dalam perihal tersebut kemungkinan besar kita dapat memohon kelengkapan seperti pengimbas dan x ray mudah alih dan apa sahaja teknologi yang ada di pasaran untuk memudahkan kerja kami.
“AKPS juga baru setahun jagung dan kekuatan perisikan masih minimum. Kita masih lagi berharap kepada agensi teras untuk membantu dan kita dapat bantuan itu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, AKPS tidak menolak kemungkinan sindiket sisa elektronik (e-waste) akan memindahkan kegiatan tersebut ke pelabuhan lain selepas tindakan berskala besar dilaksanakan di Pelabuhan Klang.
“Sindiket e-waste merupakan jenayah terancang dan mereka berniaga secara haram, jadi mesti nak ada untung. Jadi mereka akan mencari alternatif lain kerana itu lumrah kepada sesiapa pun dan tidak mustahil mereka alihkan operasi ke pelabuhan lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















