KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan kejadian seorang lelaki membaling kon lalu lintas ke arah kenderaan lain di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Petaling Jaya, ketika keadaan trafik sesak.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan itu dibuat oleh seorang anggota polis kira-kira pukul 1.37 pagi selepas mengesan satu video yang dimuat naik di Facebook bertajuk ‘Pemandu Axia Naik Hantu Baling Kon Di Plaza Tol Petaling Jaya LDP’.
Menurut beliau, video berkenaan memaparkan pemandu lelaki Perodua Axia berwarna merah memberhentikan kenderaannya secara tiba-tiba sebelum bertindak membaling kon ke arah sebuah kenderaan lain di lokasi berkenaan.
“Setakat ini pemilik kenderaan yang terlibat masih belum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta pemilik kenderaan yang terlibat supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Tambah beliau, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut,” katanya lagi.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Mohammad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-485 8907 atau di mana-mana balai polis berhampiran. — MalaysiaGazette
















