Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Huang Tiong Sii ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Status tanah sering menjadi punca kegagalan pekebun kecil mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) .

Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, ini kerana isu pemilikan tanah melibatkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sehubungan itu katanya, kementerian bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan MSPO akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mencari langkah-langkah yang sesuai.

“Tiga pihak ini sedang dan akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi tujuan pengesahan pemilikan tanah yang sah serta pelaksanaan langkah-langkah pemudah cara yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Selangau, Edwin anak Banta mengenai langkah mitigasi bagi membantu pekebun kecil kelapa sawit di Parlimen Selangau itu untuk menghadapi kos logistik tinggi.

Kos itu termasuk subsidi pengangkutan zon pedalaman dan bantuan khas bagi pekebun gagal memperoleh pensijilan MSPO akibat isu tanah NCR.

Tiong Sii berkata, MPOB memperuntukkan bantuan khas berupa insentif serta sokongan teknikal bagi membantu pekebun kecil yang layak memperoleh pensijilan MSPO.

“Bantuan ini merangkumi bimbingan pematuhan serta kos pensijilan.

Walau bagaimanapun, pemberian bantuan tersebut tidak melibatkan sebarang pelonggaran terhadap syarat dan standard pensijilan MSPO yang telah ditetapkan, dan semua pemegang sijil kekal tertakluk kepada keperluan pematuhan sepenuhnya,” ujarnya.

Terdahulu beliau berkata, kerajaan tidak menyediakan bantuan secara langsung kepada pekebun kecil kelapa sawit yang terkesan dengan kos logistik di negeri Sarawak.

Ia kerana kerajaan menyediakan peruntukan untuk pembinaan dan naik taraf Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK).

“Sebanyak RM19.5 juta telah diluluskan bagi negeri Sarawak sejak tahun 2023 termasuk RM3 juta bagi tahun 2026,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast