Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi penerangan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada sesi lawatan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di tapak gudang CF4, Pelabuhan Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 09 FEBRUARI 2026.

PELABUHAN KLANG – Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi bagi menangani kemasukan sisa elektronik (e-waste) namun penguatkuasaan perlu lebih ketat bagi memastikan pendakwaan berkesan.

Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, cabaran bukan terletak pada ketiadaan perundangan sebaliknya menguatkuasakan undang-undang terutama di pelabuhan dan  pintu masuk sempadan daripada terus mengekploitasi kelemahan prosedur.

“Saya percayai mencukupi (undang-undang) buat masa ini, cuma kaedah pelaksanaanyanya perlu diteliti. Ada beberapa aspek perundangan dibincangkan tadi dalam melaksanakan akta AKPS, kita boleh gunakan Akta Kastam dan Prosedur Tatacara Jenayah untuk mengenal pasti serta menjalankan operasi yang berkesan.

“Kita juga boleh guna banyak sumber-sumber perundangan yang ada dalam undang-undang yang penting kenal pasti dulu apa isunya kemudian amalkan tatacara yang bertepatan dengan aspek pengoperasian yang dijalankan,” katanya.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bercakap pada sidang media selepas sesi lawatan ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di tapak gudang CF4, Pelabuhan Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 09 FEBRUARI 2026.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di Tapak Gudang CFS4, di Pelabuhan Barat Klang bersama pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Tambah Mohd Dusuki, Pasukan Khas Pelbagai Agensi atau Multi Agency Task Force (MATF) juga akan memperincikan cadangan berkaitan isu penyeludupan sisa e-waste dan rasuah dalam masa terdekat yang akan dipengerusikannya.

“Baru-baru ini Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ada mengetuai satu task force untuk menangani isu-isu e-waste terutamanya di mana saya sendiri yang mempengerusikannya.

“Kita akan perincikan sebarang cadangan yang dibawa ke MATF nanti dan ia akan diadakan dalam masa terdekat, mungkin dalam seminggu ini insya-Allah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, modus operandi sindiket sisa e-waste akan mengisytiharkan sebagai barangan terpakai atau lusuh bagi mengelak dikesan dan taktik tersebut memerlukan pemeriksaan yang rapi oleh pihak penguat kuasa.

“Banyak maklumat kami terima daripada AKPS mengenai pengoperasian tentang pengesanan dan pembongkaran kontena – kontena yang mengandungi bahan disyaki e-waste dan semua dapat lihat bagaimana tata cara dibuat salah satu kontena yang disyaki mengandungi bahan telarang yang kita tak pasti lagi sama ada ia adalah bahan e-waste atau tidak.

“Keadaan ini akan memakan masa kerana banyak perkara atau pun detail-detail yang perlu dijalankan oleh pihak AKPS,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast