KUALA LUMPUR — DAPSY Kebangsaan menyatakan sokongan penuh terhadap tuntutan Sekretariat Mansuh AUKU agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) dimansuhkan segera dan digantikan dengan akta baharu yang lebih progresif serta demokratik.
Pengarah Hal Ehwal Varsitinya, Koh Ling Xian berkata, pihaknya berdiri bersama mahasiswa progresif dan aktivis mahasiswa dalam memperjuangkan reformasi pendidikan tinggi negara.
“Pemansuhan AUKU bukan slogan bermusim, tetapi pendirian konsisten Pakatan Harapan, DAP dan DAPSY,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sekumpulan pelajar menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli bagi menggesa pemansuhan AUKU, termasuk membangkitkan peruntukan yang memberi kuasa luas kepada Menteri Pendidikan Tinggi melantik Naib Canselor.
Dalam masa sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan mengakui AUKU merupakan akta dinamik yang perlu disesuaikan dengan perubahan semasa serta menegaskan kementerian sentiasa terbuka menerima pandangan pelbagai pihak.
Menurut Ling Xian, agenda pemansuhan AUKU sentiasa menjadi teras perjuangan di bawah kepimpinan Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong dan bukan sekadar retorik bermusim.
Katanya, AUKU telah lama menyekat autonomi universiti dan kebebasan akademik, selain memberi kesan kepada gerakan mahasiswa termasuk melibatkan beberapa pemimpin muda yang pernah berdepan tindakan di bawah akta berkenaan.
“Kenyataan untuk ‘meneliti atau menyemak semula AUKU’ jauh tidak memadai. DAPSY mendesak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera menghidupkan semula Jawatankuasa Pemansuhan AUKU dan memulakan kerja penggubalan undang-undang Pendidikan Tinggi baharu,” katanya.
Tambah beliau, reformasi itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui libat urus, penyediaan draf dasar serta rang undang-undang jelas, selain boleh digerakkan serentak dengan penggubalan akta baharu merangkumi aspek peruntukan dana, autonomi institusi, hak persatuan mahasiswa dan kebebasan akademik.
Beliau berkata, DAPSY turut mengupah pasukan perundangan untuk memulakan kerja merangka akta baharu bagi memastikan hala tuju reformasi dapat dilaksana secara nyata dan terukur.
“DAPSY menggesa KPT memulakan tindakan serta-merta untuk memansuhkan AUKU dan menggubal satu Akta Pendidikan Tinggi yang lebih progresif, demokratik dan adil untuk menggantikannya.
“Reformasi tidak boleh lagi ditangguh kerana ia langkah signifikan untuk mengembalikan maruah universiti dan menjamin masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya. — MalaysiaGazette
















