Dua wanita maut selepas tersepit dalam kereta jenis Perodua MYVI yang dinaiki terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah Toyota Hilux di Batu Gajah. Foto JBPM Perak

BATU GAJAH – Dua wanita maut selepas tersepit dalam kereta yang dinaiki terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang, dekat sini, malam tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai G Sarasbathy, 65, dan SR Sarala Devi, 34, sementara seorang lagi mangsa kanak-kanak perempuan telah dibawa ke hospital sebelum pasukan bomba tiba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu pada jam 9.45 malam.

Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat berkenaan.

“Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua MYVI dengan sebuah Toyota Hilux.

“Dalam insiden itu didapati dua wanita telag tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dalam kereta Perodua MYVI,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Menurut beliau, pasukan bomba menggunakan peralatan hidraulik bagi membawa kedua-dua mangsa tersepit keluar daripada kenderaan terbabit.

“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mohd Daflizan Mohd Daud itu tamat pada jam 11.10 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast