PETALING JAYA – Penduduk Taman Dato Harun di sini membantah pembinaan sebuah rumah ibadat selain Islam (RISI) di atas tanah seluas 10,936.12 kaki persegi dekat sini tanpa rundingan mahupun sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya hanya menyedari terdapat satu kelulusan pemindahan rumah ibadat itu kepada Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Desa Perangsang di atas tanah Lot 76417.
“Tapak RISI itu betul-betul di atas tanah berhadapan D’Buana Event Hall yang digunakan masyarakat Melayu Islam untuk mengadakan majlis perkahwinan dan laluan sama sebagai tapak perarakan Maulidur Rasul setiap tahun.
“Malangnya Kerajaan Negeri Selangor memberi kelulusan RISI tanpa mengambil kira komposisi masyarakat yang majoritinya atau lebih 90 peratus berbangsa Melayu dan beragama Islam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama kira-kira 100 penduduk Taman Dato Harun mengadakan bantahan secara aman di tapak pembinaan RISI di Lot 76417 dekat sini.
Dua hari lalu, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling dipercayai meletakkan notis pemberitahuan kelulusan di tanah Lot 76417 bagi kegunaan Penganut Sri Maha Mariamman Desa Perangsang untuk pembinaan RIBI.

Menurut notis itu, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Ke 35/ 2025 bertarikh 25 November 2025 menimbang dan meluluskan cadangan tapak RISI di Lot 76417 seluas 1,016 meter persegi untuk diwartakan sebagai RISI.
Afif juga berkata, beliau dan penduduk Taman Dato Harun tidak pernah mempertikaikan kebebasan beragama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Kami kesal bukan sahaja penduduk dan pekedai tidak diajak berunding, bahkan saya sendiri sebagai wakil rakyat di sini tidak dimaklumkan dan malah keputusan dibuat secara senyap,” katanya.

Sehubungan itu, saya akan mengemukakan surat bantahan pembinaan RISI secara rasmi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari agar kerja-kerja tanah tersebut dihentikan serta-merta.
“Saya memohon pertimbangan Dato Menteri Besar untuk membatalkan atau menggantung keputusan kelulusan dasar tapak RIBI di Lot 76417.
“Menteri Besar perlu mengarahkan satu proses libat urus awam yang menyeluruh dan telus melibatkan wakil rakyat, penduduk serta peniaga setempat.
“Kerajaan Negeri juga perlu mengenal pasti tapak alternatif yang lebih sesuai dari segi demografi dan perancangan bandar bagi kegunaan Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Desa Perangsang,” katanya.

Katanya lagi, Menteri Besar juga perlu mempertimbangkan pewartaan Lot 76417 sebagai kawasan lapang atau rekreasi awam demi kepentingan keseluruhan komuniti setempat.
“Saya percaya Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Dato Menteri Besar sentiasa menjunjung prinsip keadilan, keharmonian antara agama serta tadbir urus berintegriti demi kesejahteraan rakyat.
“Saya bersedia menghadiri sebarang sesi perbincangan rasmi bagi mencari penyelesaian yang adil, seimbang dan lestari untuk semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















