Seorang peniaga didenda RM5,500 di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh seorang lelaki warga emas di Jalan Cheras-Hulu Langat, Ahad lalu.

KAJANG – Seorang peniaga didenda RM5,500 di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut mahu membunuh seorang lelaki warga emas di Jalan Cheras-Hulu Langat, Ahad lalu.

Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Saiful Adli Yusof, 52, selepas mengaku bersalah dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Liew Khoon Foo, 70, dengan menumbuk dan menendang bahagian muka dan badan mangsa di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras, pada 4.05 petang, 8 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap mangsa sama dengan ugutan hendak menyebabkan kematian, di lokasi serta waktu serupa.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Afiqah Shaari memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Sementara itu, peguam Muhammad Syakir Haznal yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan dan meripakan pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

Selain itu, tertuduh perlu menanggung isteri dan empat anak berusia antara 16 tahun hingga enam hari selain menanggung ibu mentua yang menghidap penyakit kronik.

“Semasa kejadian berlaku, anak guam ada di dalam kenderaan itu bersama isteri dan bayi mereka yang berusia tiga hari. Anak guam serta isterinya berasa terkejut dan terkilan apabila kejadian itu berlaku. Anak guam telah insaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata Muhammad Syakir.

Pada Ahad lalu, tular video berdurasi kira-kira satu minit di media sosial, memaparkan suspek memarahi dan menendang mangsa yang sedang duduk di kerusi pemandu keretanya, manakala terdapat beberapa individu cuba menenangkan suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast