
KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah yang sebelum ini ditidurkan di zon merah di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HUKM) masih menerima rawatan akibat jangkitan bakteria pada paru-paru.
Sahabatnya, Mejar (B) Razali Zakaria menafikan berita yang tular di laman sosial kononnya aktivis badan bukan kerajaan itu sudah meninggal dunia.
“Keadaan Ayah Abdul Rani Kulup Abdullah masih berada di ICU HUKM dalam pemantauan pihak hospital.
“Tiada pelawat dibenarkan kecuali keluarga terdekat. Doa untuk kesembuhan Ayahanda sihat seperti sedia kala.
“Jangan sebarkan berita kematian yang tak sahih,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebok miliknya, hari ini.
Terdahulu, tular di laman media sosial Facebook dan WhatsApp kononnya Pengerusi Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu meninggal dunia hari ini.
Rani Kulup dalam hantarannya di Facebook sebelum ini memaklumkan kurang sihat sejak beberapa hari lalu dan memohon orang ramai mendoakan kesihatannya. – MalaysiaGazette
















