Naib Ketua Sayap Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan.

KUALA LUMPUR – Gesaan Datuk Seri Ronald Kiandee agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini disifatkan sebagai cubaan untuk menutup kegagalan beliau sendiri terutamanya sebagai Pengerusi Bersatu Sabah.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ronald sarat dengan kepentingan peribadi dan merupakan cubaan terancang untuk mengalihkan perhatian umum daripada kegagalan beliau sendiri dengan melakukan serangan terbuka kepada pemimpin parti.

Tegasnya, kenyataan Naib Presiden Bersatu itu bukan lahir daripada keikhlasan memperkukuhkan parti tetapi daripada rasa terancam terhadap kedudukan dan pengaruh peribadi.

“Hakikat yang tidak boleh disangkal ialah kegagalan terbesar Dr. Ronald Kiandee terletak di Sabah.

“Di bawah peranan dan pengaruh beliau, BERSATU gagal membina kekuatan sebenar, gagal menyusun jentera yang berfungsi, gagal menyatukan pimpinan serta akar umbi, dan akhirnya gagal meyakinkan rakyat Sabah untuk memberikan sokongan.

“Politik Sabah dibiarkan berpecah, bercelaru dan tidak berhala tuju, hasil kepimpinan yang lemah serta percaturan yang tidak berpijak di bumi nyata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/02/10/gagal-urus-krisis-bersatu-muhyiddin-diminta-letak-jawatan-ronald-kiandee/

Tegas Sri Sanjeevan, individu yang paling wajar mempertimbangkan peletakan jawatan bukanlah Muhyiddin sebaliknya Ronald sendiri.

Ini kerana menurut Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Ronald gagal menyempurnakan amanah yang diberikan untuk membawa parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

“Cubaan menuding jari kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bersifat hipokrit dan tidak bertanggungjawab. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membina BERSATU daripada sifar, memimpin parti ini menjadi teras kerajaan Persekutuan, serta memimpin negara ketika krisis kesihatan dan ekonomi paling getir dalam sejarah moden.

“Sumbangan dan pengorbanan ini tidak boleh dipadam oleh kegagalan individu tertentu di medan Sabah,” katanya lagi.

Tambah beliau, tindakan disiplin parti bukanlah alat membungkam, tetapi mekanisme mempertahankan disiplin dan kelangsungan parti.

Ini kerana tanpa disiplin, Bersatu akan hancur akibat sabotaj dalaman dan politik dendam.

Katanya, Bersatu tidak boleh dijadikan pentas untuk individu gagal menutup kelemahan sendiri dengan retorik kononnya demi reformasi.

Terdahulu, Ronald mendesak Muhyiddin berundur daripada jawatan presiden
susulan kemelut berpanjangan dalam parti tersebut.

Katanya, beliau yakin peletakan jawatan Muhyiddin akan memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar Bersatu, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut menyifatkan tindakan Lembaga Disiplin (LD) Bersatu untuk menghadapkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, atas tuduhan lama dan baharu sebagai langkah yang jelas bersifat regresif serta bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast