Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 23 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 55,458 perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia bukan Islam dengan pasangan warganegara asing antara 2019 hingga 2025 dengan rekod tertinggi membabitkan warga China dan Vietnam .

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua negara itu antara lima negara yang mencatatkan jumlah tertinggi bagi pasangan bukan warganegara dengan tiga lagi membabitkan Singapura, Thailand dan Indonesia.

Menurut beliau, jumlah itu berdasarkan rekod pendaftaran di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sepanjang tempoh tujuh tahun itu.

“Warga China merekodkan 9,195 perkahwinan dengan rakyat Malaysia yang meliputi 3,030 lelaki dan 6,165 perempuan, diikuti Vietnam dengan 8,620 perkahwinan (semua perempuan), Singapura dengan 8,802 perkahwinan (5,910 lelaki dan 2,892 perempuan), Thailand dengan 5,186 perkahwinan (semua perempuan) dan Indonesia dengan 4,263 perkahwinan (semua perempuan).

“Secara keseluruhan, kelima-lima negara ini menyumbang 36,066 daripada 55,458 perkahwinan pasangan bukan Muslim antara rakyat Malaysia dan bukan warganegara,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Menjawab soalan berkaitan proses penambahbaikan hak kepada pasangan warga asing supaya dapat menampung kehidupan keluarga, Saifuddin berkata, dasar dan pelaksanaan imigresen negara tertakluk Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan kawalan terhadap kemasukan, keberadaan dan aktiviti warganegara asing di Malaysia.

Jelas beliau, di bawah Peraturan 11, pasangan warga asing kepada rakyat Malaysia layak memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) Kategori Pasangan Warganegara, yang membolehkan mereka menetap secara sah di Malaysia bagi tujuan penyatuan keluarga, tertakluk kepada syarat, tempoh dan kuasa budi bicara Ketua Pengarah Imigresen Malaysia.

Kata beliau, secara prinsipnya, PLSJP tidak memberikan kebenaran bekerja secara automatik memandangkan tujuan pas itu adalah keberadaan atas asas kekeluargaan dan bukan pekerjaan, selaras Peraturan 9 yang menetapkan bahawa sebarang aktiviti pekerjaan berbayar adalah tertakluk kepada pas pekerjaan yang berkenaan.

“Bagaimanapun, sebagai langkah penambahbaikan berasaskan kebajikan keluarga, kerajaan membenarkan pemegang PLSJP untuk memohon endosmen kebenaran bekerja melalui Jabatan Imigresen Malaysia, tertakluk penilaian kes demi kes, termasuk aspek keselamatan, latar belakang, jenis pekerjaan serta pematuhan undang-undang imigresen dan buruh.

“Kebenaran ini diberikan secara bersyarat dan boleh diperbaharui selaras dengan status perkahwinan yang sah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast