SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memandang serius insiden perobohan struktur di atas tanah Yayasan Kubra di Rawang Perdana dan menggesa siasatan dijalankan secara profesional serta telus.
Difahamkan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman, mengulas insiden pagi tadi melibatkan perobohan sebuah kuil di kawasan tanah Yayasan Kubra menggunakan sebuah eksavator bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf di tanah berkenaan.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan segera terhadap semua pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Saya menggesa PDRM mengambil tindakan segera, profesional dan telus terhadap semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Papparaidu, sebarang isu berkaitan pencerobohan tanah atau perobohan struktur mesti ditangani melalui saluran rasmi dan mendapat kebenaran pihak berautoriti.
“Jika berlaku pencerobohan, laporan rasmi hendaklah dibuat kepada Pejabat Tanah dan Daerah, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan. Sebarang perobohan pula mesti mendapat kebenaran dan perintah sah terlebih dahulu,” ujarnya.
Beliau menegaskan, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan tegas perlu diambil termasuk merampas peralatan dan jentera yang digunakan.
“Peralatan dan jentera termasuk ekskavator wajar dirampas bagi memastikan siasatan berjalan lancar serta mengelakkan gangguan terhadap bahan bukti,” jelasnya.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau agama. – MalaysiaGazette
















