KUALA LUMPUR – Seorang mekanik cedera selepas didakwa diserang pelanggan yang enggan membayar upah membaiki motosikal dalam kejadian di Kampung Kongsi 8, di Tawau, Sabah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dihubungi seorang lelaki untuk membaiki motosikal di rumah suspek.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi, mangsa enggan meneruskan kerja pembaikan kerana tidak menerima bayaran seperti diminta.
Tindakan itu dipercayai mencetuskan kemarahan suspek sebelum lelaki berkenaan bertindak agresif dengan melastik kaki kiri mangsa menggunakan sebatang besi halus sehingga menembusi bahagian tersebut.
Mangsa yang mengalami kesakitan kemudian dibawa oleh suspek ke hospital dan menjalani pembedahan susulan kecederaan dialami.
“Sehubungan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 32 tahun di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, suspek mempunyai 11 rekod lampau membabitkan pelbagai kes jenayah dan dadah serta pernah ditahan dan dihukum sebelum ini.
Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















