Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan kenderaan pelancongan yang menjalankan aktiviti persiaran wajib menyediakan pemandu pelancong berlesen secara berasingan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan baru-baru ini bertujuan memastikan keselamatan pelancong dan profesionalisme industri terus terpelihara.

“Tugas pemandu adalah memandu manakala pemandu pelancong bertanggungjawab memberi penerangan dan menjaga kebajikan pelawat. Kedua-dua peranan ini tidak wajar digabungkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut King Sing, amalan memegang dua peranan serentak boleh menjejaskan tumpuan pemanduan dan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Keadaan ini boleh membahayakan keselamatan pelancong dan memberi kesan buruk kepada imej negara,” katanya.

King Sing berkata, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan, terutama selepas beberapa kes kemalangan melibatkan pelawat asing dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Mengulas mengenai pengecualian, beliau menjelaskan, garis panduan sejak 2009 masih berkuat kuasa, khusus bagi perkhidmatan pengangkutan point-to-point melibatkan tujuh penumpang ke bawah tanpa aktiviti persiaran.

“Pengecualian ini tidak meliputi sebarang bentuk lawatan, penerangan atau persinggahan di lokasi tarikan,” katanya.

Bagi kenderaan membawa tujuh orang ke atas, katanya, pengusaha perlu mengemukakan permohonan melalui Sistem TOURLIST sebelum pengecualian dipertimbangkan.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran terhadap amalan penyalahgunaan dan ‘penyewaan’ lesen yang dikesan dalam kalangan pengusaha.

“Sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan termasuk denda, pendakwaan atau penggantungan lesen. Penguatkuasaan dibuat berdasarkan undang-undang, bukan menyasarkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kementerian terbuka menerima pandangan industri namun menegaskan perbincangan dasar perlu dibuat melalui saluran rasmi dan bukan secara terbuka.

Katanya, perbincangan antara MOTAC dan Kementerian Pengangkutan berhubung isu dwi-lesen kini berada di peringkat akhir bagi memperjelas bidang kuasa dan penguatkuasaan.

Jelasnya, langkah itu penting untuk memastikan pembangunan industri pelancongan negara terus berteraskan keselamatan, profesionalisme dan pematuhan undang-undang, selaras dengan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast