GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas Rapid Penang di Jalan Air Itam di sini hari ini.
Rapid Bus Sdn.Bhd. (Rapid Bus)dalam satu kenyataan mengesahkan insiden kira-kira 3.05 petang itu melibatkan bas Rapid Penang laluan 203.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal melanggar bahagian belakang bas yang sedang parkir di hab bas bertentangan Pejabat Pos Air Itam.
“Impak kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, semasa kejadian tiada penumpang berada di dalam bas dan kapten bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Rapid Bus menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa serta akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















