KUALA LUMPUR – Persoalan berhubung kontroversi pemilikan saham melibatkan Tan Sri Azam Baki bukan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sudah mengisytihar atau melupuskan pegangan saham beliau.
Sebaliknya, kata bekas Ahli Parlimen DAP Damansara, Tony Pua persoalan sebenar adalah bagaimana Azam mampu membeli saham yang dikaitkan dengannya yang nilainya mencecah jutaan ringgit sebagai seorang penjawat awam.
“Dari mana dan bagaimana Azam, sebagai pegawai kanan perkhidmatan awam, memperoleh kekayaan sedemikian?” soalnya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan berkenaan pendedahan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Menurut laporan Bloomberg itu, pemilikan saham berkenaan adalah berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan semasa.
Sementara itu, sebuah portal berita hari ini mendakwa Azam turut memiliki saham dalam sebuah lagi syarikat yang berdasarkan harga dagangan semasa berjumlah RM1.38 juta.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan pematuhan terhadap peraturan had pemilikan ekuiti oleh penjawat awam. – MalaysiaGazette















