Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, bergambar bersama dua individu yang berjaya membeli tuala dan selipar dalam proses lelongan yang diadakan di kediamannya di Ampang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Sebelah selipar milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berjaya dilelong pada harga RM33,000 dalam prosiding lelongan awam yang berlangsung di kediamannya di No.63, Jalan 4M, Ampang Jaya, Ampang, Selangor, pada jam 10 pagi hari ini.

Barangan tersebut pada asalnya ditawarkan dengan harga permulaan RM10,000 sebelum menerima beberapa bidaan daripada individu yang hadir namun selesai tidak sampai lima minit. 

Selepas persaingan sengit, selipar berkenaan akhirnya dimenangi oleh seorang ahli perniagaan, Leon Ho Man Hou, dari CNS Hardware.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, Leon berkata, beliau tampil membida barangan itu sebagai tanda sokongan terhadap Jamal yang disifatkannya banyak berjasa kepada masyarakat, khususnya dalam membantu golongan memerlukan di Sabah.

Orang ramai membuat bidaan ketika proses lelongan barangan termasuk selipar dan tuala yang dianggarkan bernilai RM66,000 di kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, di Ampang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 FEBRUARI 2026.

“Beliau banyak membantu anak-anak susah, menyumbang dan buat kerja kebajikan. Banyak program yang beliau jalankan untuk membantu mereka.

“Hari ini bila beliau susah, kita hadir bantu. Ini cara saya balas jasa beliau,” dedah beliau.

Leon turut menjelaskan dirinya tidak teragak-agak menaikkan bidaan kerana merasakan usaha membantu Jamal dalam situasi sukar adalah satu tanggungjawab moral.

Dalam prosiding sama, sehelai tuala milik Jamal turut berjaya dilelong pada harga RM33,000 selepas menerima bidaan daripada beberapa pihak.

Bidaan bagi tuala itu dimenangi oleh seorang lagi ahli perniagaan, A Jaikumar, yang menyifatkan barangan tersebut mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Menurut Jaikumar, beliau sanggup membayar harga tinggi kerana melihat barangan itu sebagai simbol kepada keberanian Jamal dalam menyuarakan isu rakyat.

“Datuk Jamal sanggup bersuara lantang tentang isu air di Selangor walaupun berdepan pelbagai kritikan dan cabaran.

“Beliau bersuara untuk kita, rakyat Selangor. Hari ini kita balas balik sokongan beliau,” ujarnya.

Orang ramai membuat bidaan ketika proses lelongan barangan termasuk selipar dan tuala yang dianggarkan bernilai RM66,000 di kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, di Ampang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 FEBRUARI 2026.

Lelongan itu dikendalikan oleh jurulelong, Mohammad Parwiez Abdul Maarof, sebagai sebahagian pelaksanaan perintah mahkamah terhadap Jamal.

Difahamkan, proses sitaan dan lelongan itu berpunca daripada kegagalan Jamal menjelaskan hutang penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sejak beberapa bulan lalu.

Bayaran tersebut membabitkan kos guaman yang belum dilunaskan oleh Jamal, 56, berhubung kes saman fitnah pada 2017 yang mendakwa Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Susulan keputusan mahkamah memihak kepada Teresa, Jamal diperintahkan membayar kos guaman berkenaan, namun sehingga kini gagal menjelaskan jumlah tersebut sepenuhnya.

Sebelum ini, Jamal menyifatkan tindakan Teresa meneruskan pelaksanaan penghakiman itu sebagai terdesak dan bertujuan memalukan dirinya, walaupun menurutnya peguam kedua-dua pihak pernah mencapai persefahaman dalam usaha menyelesaikan kos pengurusan kes berkenaan.

Pada 28 Januari lalu, sebanyak 14 harta alih milik Jamal telah disita secara paksa daripada kediamannya di Ampang Jaya dengan kehadiran bailif Mahkamah Tinggi.

Barangan yang disita itu disenaraikan untuk pelupusan melalui lelongan awam bagi menyelesaikan tunggakan penghakiman berjumlah RM66,061.85 yang masih belum dibayar kepada Teresa.

Bagaimanapun, Jamal sebelum ini melalui peguamnya, Nasser Yusof, memaklumkan bahawa 14 harta alih yang disita itu sebenarnya milik anaknya, Amin Daniel.

Sehubungan itu, Nasser dilaporkan akan mengemukakan permohonan saman interpleader kepada Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat bagi menentukan pemilikan sebenar barangan berkenaan.

Walaupun hanya melibatkan barangan peribadi seperti selipar dan tuala, prosiding lelongan itu mencuri perhatian ramai kerana nilai bidaan yang jauh melebihi harga permulaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast