TImbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 66 koperasi diluluskan pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) berjumlah RM75.32 juta manakala 78 koperasi diluluskan geran Bantuan Pembangunan Perniagaan berjumlah RM8.59 juta pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, bagi memastikan hanya koperasi yang mempunyai prestasi yang baik sahaja dipertimbangkan untuk pembiayaan TMPSKM dan geran Bantuan Pembangunan Perniagaan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menetapkan kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi oleh koperasi.

Kata beliau, ia termasuklah pematuhan kepada Akta Koperasi 1993 dan keupayaan koperasi untuk membayar balik pembiayaan dan secara umumnya, kriteria yang ditetapkan itu penting bagi memastikan hanya koperasi yang benar-benar bersedia dan
menunjukkan komitmen diberi bantuan untuk mengembangkan perniagaan oleh SKM.

“Dalam hal ini, SKM akan sentiasa menilai dan membuat pemantauan ke atas koperasi yang mendapat kemudahan ini bagi memastikan setiap pembiayaan dan geran yang disalurkan mencapai objektif pembangunan koperasi secara menyeluruh dan berkesan.

“Koperasi yang menerima kemudahan pembiayaan tetapi gagal menunjukkan prestasi bayaran balik yang memuaskan adalah tidak layak untuk dipertimbangkan bagi pembiayaan baharu.

“Sebarang tunggakan pembiayaan juga akan dituntut dan diambil tindakan perundangan sewajarnya manakala koperasi yang menghadapi masalah prestasi akan dibantu melalui khidmat nasihat, tawaran penjadualan semula dan penstrukturan pembiayaan serta latihan pengurusan bagi memperkukuh keupayaan tadbir urus dan operasi koperasi tersebut,” katanya Sesi Pemberitahuan Pertanyaan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta menteri
menyatakan bagi boperasi yang gagal menunjukkan prestasi yang baik adakah pihak Kementerian bersedia menghentikan pembiayaan walaupun berulang kali menerima bantuan.

Mohamad menambah, SKM menyediakan TMPSKM dan geran Bantuan Pembangunan Perniagaan yang bertujuan untuk menyokong keperluan modal pusingan koperasi dan
pembelian aset, hartanah, jentera atau kenderaan bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti ekonomi dan keupayaan operasi perniagaan sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast