Akademia ialah ruang kerja yang unik dan mencabar. Kita bekerja dengan individu dewasa berpendidikan tinggi, berpengalaman, dan mempunyai pandangan yang kuat. Dalam satu mesyuarat, idea boleh bercambah dengan cepat.
Tetapi dalam mesyuarat yang sama juga, perbezaan pendapat boleh menjadi tegang, senyap, atau berputar tanpa arah. Di sinilah universiti berbeza daripada organisasi lain iaitu kepakaran tidak menjamin kesepakatan.
Ada universiti yang sangat hierarki sifatnya. Keputusan turun dari atas, staf melaksana tanpa banyak soal. Kerja boleh bergerak dengan pantas, mesyuarat menjadi singkat dan arahannya jelas. Namun, ramai akhirnya bekerja tanpa benar-benar memahami sebab di sebalik tindakan mereka.
Lama-kelamaan, budaya berfikir bersama digantikan dengan budaya ikut arahan sahaja. Adakah itu budaya akademik sebuah universiti?
Ada pula universiti yang terlalu egalitarian yang mana semua perkara perlu dibincangkan, semua suara mahu diraikan. Niatnya baik tetapi keputusan menjadi lambat, tenaga emosi habis dalam mesyuarat.
Apabila tiba masa melantik pelaksana, suasana tiba-tiba menjadi senyap. Hakikatnya, apa yang berlaku dalam bilik mesyuarat akademia hari ini sebenarnya menggambarkan bagaimana universiti itu memahami peranan sendiri.
Dalam sejarah panjang pembinaan ketamadunan, institusi ilmu sentiasa muncul sebagai ruang yang membenarkan manusia bertanya demi mencari kebenaran. Dari pusat-pusat keilmuan awal dunia hingga ke universiti moden hari ini, kemajuan masyarakat hampir sentiasa didahului oleh keberanian akademia untuk berdiri sedikit ke hadapan daripada kekuasaan dan kebiasaan.
Namun dalam landskap akademia kontemporari, terdapat satu nilai asas yang semakin terhakis secara senyap. Ia bukan soal bangunan universiti, bukan jumlah penerbitan, dan bukan juga kedudukan dalam penarafan antarabangsa.
Nilai yang semakin menipis ialah keberanian intelektual, iaitu keupayaan akademia untuk melihat dirinya sebagai benteng kebenaran dan pemikir kritis, bukan sekadar pelaksana arahan atau pengurus prosedur.
Hakikat ini membawa kepada satu kekeliruan yang semakin mengakar dalam ekosistem universiti. Banyak perkara asas tentang makna akademia semakin kabur dalam kalangan komuniti akademik sendiri.
Kita kelihatan selesa menyempitkan peranan sarjana kepada memenuhi indikator prestasi dan pematuhan prosedur birokrasi. Sedangkan semua ini hanyalah alat sokongan, bukan tujuan utama kewujudan universiti.
Akademia yang sejahtera ialah akademia yang berfungsi secara holistik. Ia memberi ruang kepada pencarian ilmu secara bebas dan jujur, mengiktiraf perbezaan pandangan yang matang, serta memupuk perdebatan yang berasaskan hujah dan bukti, bukan hierarki atau kedudukan.
Akademia yang sihat bakal melahirkan sarjana yang berani mengakui ketidakpastian, bukan sekadar mereka yang mahir mencantikkan laporan dan mematuhi kehendak sistem.
Apabila kebebasan ini semakin disempitkan oleh lapisan peraturan yang tidak memahami sifat ilmu, universiti mula menjadi lesu dan defensif. Ia semakin terpisah daripada masyarakat, dan gagal berperanan sebagai ruang pemikiran yang hidup.
Dalam keadaan ini, tidak menghairankan apabila sebahagian ahli akademik memilih jalan diam bagi mengelakkan konfrontasi, atau menerima keadaan ini sebagai perubahan zaman yang tidak dapat dielakkan.
Namun, dalam keadaan yang kelihatan buntu inilah, persoalan tentang bagaimana perubahan boleh dimulakan menjadi semakin relevan.
Perubahan jarang digerakkan oleh struktur semata-mata, sebaliknya bermula dengan pembinaan naratif yang membentuk cara manusia memahami realiti. Kita sebagai masyarakat bertindak balas terhadap cerita yang dekat dengan pengalaman sendiri dan membina rasa kebersamaan.
Justeru, perjuangan membina makna melalui naratif menjadi asas kepada perubahan cara fikir dan pembentukan kuasa lembut (soft power) dalam masyarakat. Atas sebab itu, naratif yang tepat tentang peranan universiti amat penting. Tanpa membetulkan cara kita mentafsir makna akademia, sebarang usaha reformasi struktur akan mudah gagal atau diserap kembali oleh sistem lama.
Perjuangan tidak pernah menjanjikan kemenangan dan tidak perlu bermula dengan keyakinan bahawa hasilnya pasti berjaya. Dalam dunia akademia, nilai sesuatu usaha tidak hanya diukur pada kesudahannya, tetapi pada keberanian untuk memulakannya dengan niat yang jujur dan bertanggung jawab.
Jika mereka yang memahami sistem ini memilih untuk berdiam diri, maka budaya takut dan kepatuhan akan diwariskan sebagai norma.
Dalam konteks ini, perjuangan akademia bukanlah perjuangan individu. Ia merupakan usaha kolektif untuk mengembalikan kefungsian penuh universiti sebagai gedung pemikir dan pembina bangsa.
Seorang ahli akademik yang berfungsi sepenuhnya ialah individu yang bebas berfikir tanpa rasa terancam, mampu berbeza pendapat tanpa dipinggirkan, dan dihormati kerana integriti serta ketelusan intelektualnya, bukan kerana sejauh mana dia patuh kepada kehendak birokrasi.
Kesejahteraan akademik juga tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan pelajar. Universiti yang benar-benar berfungsi akan melahirkan pelajar yang matang dan berdaya fikir, bukan sekadar patuh. Hubungan antara ahli akademik dan pelajar seharusnya dibina atas dialog, kepercayaan dan saling menghormati.
Pelajar bukan beban yang perlu dikawal, dan ahli akademik bukan autoriti mutlak yang kebal daripada soal jawab. Kedua-duanya adalah rakan dalam proses pembinaan ilmu dan nilai.
Pada masa yang sama, universiti tidak boleh terputus daripada masyarakat. Sejak awal ketamadunan, institusi ilmu wujud untuk memberi makna kepada realiti sosial, bukan untuk melarikan diri ke dalam menara gading.
Akademia yang terpisah daripada komuniti akan kehilangan kepekaan moralnya, manakala masyarakat yang jauh daripada universiti akan kehilangan panduan intelektual. Kesejahteraan hanya dapat dicapai apabila hubungan ini dipelihara secara sedar dan berterusan.
Di sinilah pentingnya semangat kebersamaan dalam ekosistem universiti. Kepelbagaian pandangan bukan ancaman, tetapi sumber kekuatan. Perbezaan disiplin, latar belakang dan pengalaman bukan halangan, sebaliknya prasyarat kepada pemikiran yang matang dan berimbang.
Budaya saling membantu antara pelajar, ahli akademik, staf sokongan dan komuniti bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada universiti yang sejahtera dan relevan.
Perjuangan ini mungkin perlahan dan tidak popular. Ia mungkin tidak segera diterjemahkan kepada perubahan dasar atau struktur. Namun ketamadunan tidak pernah dibina dalam garis lurus yang singkat.
Ia terbina melalui kesinambungan usaha kecil yang konsisten, jujur dan berprinsip. Dalam perjalanan ini, persoalan paling penting bukanlah sama ada kita akan berjaya, tetapi sama ada kita sanggup memulakan langkah ketika keadaan lebih selesa untuk berdiam diri.
Oleh Prof. Madya Dr Mohd Uzair Rusli
Presiden Persatuan Kebajikan Staf Akademik (PASAK), Universiti Malaysia Terengganu
















