Pekarangan Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini diperdengarkan pengakuan tidak bersalah seorang remaja lelaki berusia 15 tahun atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama Oktober tahun lepas.

Remaja itu, yang dikenali sebagai ‘L’ membuat pengakuan tidak bersalah menikam sehingga menyebabkan kematian pelajar berusia 16 tahun di hadapan Hakim, Adlin Abdul dalam prosiding tertutup hari ini dalam bahasa Mandarin. 

Untuk makluman, ia adalah pengakuan kali pertama dibuat remaja terbabit selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Oktober tahun lalu.

Dalam prosiding itu, hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana membabitkan kes juvana.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Mac depan bagi tarikh pengurusan seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz dan Zamriah Zarifah Aris, manakala remaja terbabit diwakili peguam Kitson Foong

Peguam tertuduh, Kitson Foong berkata, perbicaraan dijangka bermula Julai depan dengan tarikh-tarikh bicara akan ditetapkan pada pengurusan kes tersebut.

Tambah beliau, sejurus selepas pertuduhan dibacakan anak guamnya terus membuat pengakuan tidak salah melakukan perbuatan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Tingkatan 1 (Peralihan) itu didakwa membunuh mangsa di tandas perempuan sekolah berkenaan antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. Namun bagi pesalah juvana, mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan mangsa ditemui dalam keadaan parah di kawasan tandas perempuan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital dan polis menahan suspek pada hari sama dan merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan.

Dalam sidang media selepas itu, ibu mangsa mendakwa anaknya ditikam lebih 200 kali menjadikan kes berkenaan antara insiden serangan di sekolah paling ekstrem yang pernah dilaporkan dalam negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast