Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.
Logo rasmi Parti Bersatu Malaysia di Ibupejabat nya di Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 26 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa supaya mengambil tindakan tegas termasuk memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin sekiranya terbukti beliau terlibat dalam gerakan memecah-belahkan parti.

Ketua Bahagian Bersatu Kimanis, Amat Md Yusof berkata, kenyataan media Naib Presiden Bersatu, Dr. Ronald Kiandee pada Selasa lalu disifatkan sebagai lebih bersifat emosional, tidak bertanggungjawab dan didorong kepentingan peribadi berbanding kelangsungan parti.

Menurutnya, tindakan Lembaga Disiplin memanggil Hamzah bagi melengkapkan siasatan adalah selaras dengan Perlembagaan parti dan bukannya satu tindakan regresif seperti yang didakwa.

“Dalam Bersatu, tiada sesiapa kebal termasuk pimpinan tertinggi apabila wujud pelanggaran disiplin dan gerak kerja yang melemahkan parti dari dalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Ronald yang bercakap mengenai masa depan parti sedangkan prestasi kepimpinan beliau semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara yang terburuk dalam sejarah Bersatu di negeri itu.

“Keputusan tersebut menyumbang kepada kekalahan teruk Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akibat kegagalan strategi, kelemahan jentera serta ketandusan sokongan akar umbi,” ujarnya.

Amat menegaskan, cubaan mengaitkan krisis dalaman parti dengan kegagalan Presiden memimpin adalah naratif songsang.

“Hakikatnya, ketidakstabilan parti berpunca daripada kelompok pimpinan yang enggan berdisiplin, bergerak di luar struktur parti dan secara terbuka melemahkan Presiden,” katanya.

Tambah beliau, sebarang permasalahan dalaman sepatutnya diselesaikan secara tertutup dan bukannya dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap parti.

“Tindakan Ronald Kiandee sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah yang menyerang presiden secara terbuka amat tidak wajar.

“Jika beliau tidak boleh menerima kepimpinan Presiden, eloklah beliau melepaskan jawatan yang dilantik oleh Presiden,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan sokongan penuh terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengasas dan simbol kestabilan parti yang mendapat kepercayaan majoriti ahli.

“Bersatu tidak boleh diselamatkan dengan drama politik, sebaliknya melalui disiplin, kesetiaan dan kepimpinan yang jelas. Parti ini bukan milik individu, parti ini milik perjuangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast