Keadaan suasana Himpunan Anti Rumah Anutan Haram berhampiran Kompleks Sogo dengan kehadiran pasukan keselamatan bagi mengawal keadaan di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 7 FEBRUARI 2026. (Gambar fail).

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan perkembangan mengenai penahanan penganjur Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan mendedahkan watak-watak sebenar di sebalik Perhimpunan GARAH dinasihatkan untuk membatalkannya atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya akan memaklumkan kepada Jemaah Menteri esok tentang keadaan sebenar yang berlaku, tentang watak-watak yang terlibat, tentang bagaimana pihak polis berusaha untuk mengawal keadaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 8 Februari lalu, polis menahan 19 individu termasuk penyelaras Himpunan GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran Kompleks Beli-Belah Sogo.

Jelas Saifuddin, ada kalanya tindakan polis hanya dilihat dari satu sudut sahaja sehingga kerajaan dituduh tidak menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Kadangkala tindakan polis dilihat hanya dari satu kaca mata. Polis guna pakai 105 Kanun Tatacara Jenayah bagi menghalang atau menyekat tindakan pencegahan yang dibenarkan mengikut undang-undang,” katanya.

Saifuddin juga menegaskan, kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghasut mana-mana pihak tanpa mengambil kira keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kebebasan bersuara bukan kebebasan meniup sentimen yang boleh menyemarak dan menajamkan lagi orang kata sentimen perkauman agama, ada hadnya,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKPS) di Auditorium Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, malangnya, ada segelintir ahli politik yang memilih untuk hanya memainkan isu itu bagi tujuan mendapatkan keuntungan politik sementara.

“Ada watak-watak yang memilih untuk memain dan memanipulasikan isu ini, bermain dengan sentimen dan emosi dalam isu yang sangat emotif dan tak nampak niat mereka untuk mengangkat formula penyelesaian.

“Dia tak tengok dalam konteks memelihara keamanan dan ketenteraman awam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast