Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu penternakan babi di mana-mana daerah di negeri itu serta menutup ladang sedia ada secara berperingkat susulan titah terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak memperkenankan aktiviti berkenaan diteruskan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang baru-baru ini bagi menangani isu yang memberi kesan kepada rakyat serta menjaga keharmonian negeri.

Menurut beliau, sejak Januari lalu, kerajaan negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memberi fokus kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat selaras dengan titah baginda yang dizahirkan bulan lalu.

“Menjunjung kasih titah terbaharu Tuanku Sultan Selangor, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, bagi ladang yang masih beroperasi sebelum ini, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat melalui kerjasama Jabatan Veterinar Selangor.

Mengulas bekalan daging babi, Amirudin berkata, ketika ini kira-kira 70 peratus keperluan masyarakat bukan Islam diperoleh melalui import dari negeri-negeri lain.

“Selepas keputusan MMKN ini, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.

Jelasnya, keputusan tersebut diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan babi terhadap alam sekitar termasuk isu saliran air dan pencemaran bau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar sebarang polemik berkaitan isu berkenaan dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menggugat keharmonian serta menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast