Rafizi Ramli

AMPANG – Beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil menggesa supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, digantung tugas serta-merta.

Ini bagi membolehkan satu siasatan bebas serta telus dimulakan segera susulan pendedahan laporan media antarabangsa Bloomberg.

Jurucakap kumpulan itu yang diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, dakwaan salah laku dan penyelewengan kuasa dalam agensi kerajaan adalah sangat serius dan mengingatkan rakyat kepada episod hitam skandal 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Razak hampir sedekad lalu.

Menurut Rafizi, rakyat pernah melalui cubaan untuk mengelak atau menutup skandal besar apabila ia mula didedahkan, justeru pendirian kerajaan, khususnya Perdana Menteri, akan diperhatikan dengan teliti.

“Ini menjadi mimpi ngeri kepada rakyat Malaysia yang pernah melalui pengalaman pahit sebelum ini,” katanya dalam sidang media di sini yang turut disertai Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Rafizi berkata, setakat ini laporan media tempatan hanya menyentuh dakwaan tersebut secara umum tanpa memperincikan setiap kes dan bukti yang didedahkan dalam siri laporan Bloomberg.

Katanya, rakyat akan benar-benar marah apabila mengetahui dengan lebih mendalam bentuk-bentuk penyelewengan yang berlaku.

Menurut beliau, antara contoh kes yang dilaporkan termasuk siasatan terhadap seorang individu bernama Victor Chin yang didakwa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram melebihi RM500 juta melalui penggunaan syarikat tersenarai awam bagi mencuci hasil kegiatan kongsi gelap.

Beliau berkata, kes itu disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri pada 2021 bersama-sama SPRM, namun berakhir tanpa sebarang pendakwaan.

“Sebahagian besar wang berjumlah RM500 juta itu dikembalikan,” dakwanya.

Rafizi turut merujuk dakwaan bahawa Azam Baki telah campur tangan dalam satu kes polis melibatkan seorang individu bernama Andy Lim berkaitan pemilikan senjata api.

Menurut beliau, kes itu berakhir dengan senjata api dipulangkan tanpa sebarang pendakwaan.

Katanya, contoh-contoh kes ini sudah mencukupi untuk meyakinkan rakyat bahawa satu siasatan bebas dan telus perlu disegerakan.

Rafizi berkata, kegagalan kerajaan bertindak secara tegas berisiko menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan Pakatan Harapan.

“Adalah sangat tidak berbaloi sekiranya kerajaan dihukum rakyat atas tuduhan yang melibatkan seorang penjawat awam,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast