SHAH ALAM – Semua pihak perlu memberi ruang kepada penubuhan jawatan kuasa khas untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum sebarang tindakan diambil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan diteliti bersama Jabatan Peguam Negara dan siasatan itu perlu telus dan terbuka tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Ketua Setiausaha Negara beri maklumat awal tadi, dia kata biar dia tubuh (Jawatankuasa Khas SPRM) dulu, biar dia tengok kes dengan teliti bersama peguam negara.
“Saya ingat Ketua Perkhidmatan Awam ikut proses biasa dulu. Kita kaji cara telus. Tadi juga kita bincang supaya kajian kita betul-betul telus dan terbuka supaya dapat kita teliti permasalahan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam, Politeknik Shah Alam, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Azam dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Ia merupakan pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.
Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Perdana Menteri juga berkata, beliau enggan mengganggu peranan SPRM dalam usaha-usaha untuk mengekang menyiasat salah laku rasuah.
“Kita tak mahu ganggu agensi penguatkuasaan yang giat mengambil tindakan tegas terhadap perasuah,” katanya.
Menurut Anwar, banyak pihak akan mengambil kesempatan di atas isu Azam untuk melindungi perasuah-perasuah daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Sebab itu, saya ada dua kes yang berbeza, satu kes yang melibatkan kajian ataupun siasatan dikendali pertamanya oleh badan yang diketuai oleh KSN.
“Yang keduanya, tidak ada langsung kalau ada orang anggap ini sebagai usaha nak melindungi perasuah,” katanya.
Anwar turut mengingatkan SPRM agar tidak mempedulikan pandangan sinis terhadap kredibiliti badan itu setelah isu Azam timbul.
“Bila saudara lihat di Parlimen dan di luar Parlimen, dalam kalangan orang politik dan setengah-setengah badan bukan kerajaan, paling minimum tekanan terhadap soal perasuah ini sangat minimum dalam negara kita.
“Malah dalam kes-kes profil besar pun hampir tidak ada sokongan. Sebab itu saya tegaskan kepada SPRM, jangan peduli tentang pandangan-pandangan yang lain.
“Dia mesti jalan tugas dia dengan berani dan tegas. Negara ini mesti diselamatkan dari angkara durjana rasuah yang merebak menyeluruh sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















