KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan 5.2 peratus pada tahun 2025 (2024: 5.1%), melangkaui unjuran rasmi kerajaan antara 4% hingga 4.8%.
Bagi suku keempat tahun lalu, ekonomi berkembang sebanyak 6.3% (S3 2025: 5.4%), didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi itu didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta eksport yang menggalakkan, sekali gus melebihi julat unjuran antara 4% hingga 4.8%.
Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri dan eksport yang berdaya tahan.”
Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan melalui pertumbuhan guna tenaga dan upah, serta langkah-langkah dasar kerajaan.
Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, berserta dengan pelaburan diluluskan yang terus direalisasikan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport akan disokong oleh permintaan global yang stabil, terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Pertumbuhan juga akan disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pertumbuhan perbelanjaan isi rumah lebih tinggi, didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta sokongan dasar berkaitan pendapatan.
Bank Negara Malaysia berkata, pertumbuhan pelaburan yang kukuh disokong oleh perbelanjaan jentera dan kelengkapan yang lebih teguh, khususnya untuk pusat data, serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam.
Pelancongan ke dalam negeri serta perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (information and communication technology, ICT) turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport perkhidmatan serta lebihan dalam imbangan akaun semasa.
Sementara itu, import kekal utuh, didorong oleh import barangan perantaraan yang kembali pulih bagi menyokong kegiatan ekonomi serta import barangan modal berkaitan produktiviti yang mencerminkan pelaksanaan projek pelaburan yang sedang dijalankan.
Dari segi penawaran, pertumbuhan disumbangkan terutamanya oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Pertumbuhan yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya dipacu oleh subsektor berkaitan pengguna, perkhidmatan kerajaan serta subsektor ICT susulan pengoperasian pusat data, tambahnya.
Dalam sektor perkilangan, prestasi sektor ini dipacu oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor E&E berikutan permintaan yang lebih tinggi susulan pengembangan teknologi global, serta pengeluaran barangan berkaitan pengguna yang meningkat.
Sementara itu, sektor pertanian mencatatkan prestasi yang lebih baik, mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pengeluaran minyak sawit berikutan kejadian banjir yang kurang teruk berbanding tahun sebelumnya.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.8% (S3 2025: 2.7%).
Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3% (S3 2025: 1.3%), manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3% (S3 2025: 2%) didorong terutamanya oleh kenaikan harga yang lebih pantas bagi beberapa item teras tertentu (contohnya barang kemas dan jam tangan) serta kesan asas daripada inflasi perkhidmatan komunikasi mudah alih.
Kesan ini sebahagian besarnya diimbangi oleh harga yang lebih rendah bagi barangan ditadbir terpilih, khususnya elektrik (-10.3%; S3 2025: -4.6%) dan petrol (-2%; S3 2025: -0.6%).
Hal ini selaras dengan diskaun yang lebih besar berkaitan kos penjanaan elektrik pada suku tersebut serta pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar mulai bulan Oktober 2025.
Rebakan (pervasiveness) inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, menurun kepada 39.6% pada suku tersebut (S3 2025: 43.8%), kekal di bawah purata bagi suku keempat tahun-tahun sebelum ini iaitu 41.7%.
Selaras dengan jangkaan terdahulu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.4% dan 2% pada tahun 2025[1] (2024: kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8%). – MalaysiaGazette















