Hazizan didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah ke atas rakan sekerjanya di Mahkamah Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Operator jengkaut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas rakan sekerjanya dengan menyimbah asid.

Tertuduh, Hazizan Fadzil, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan cedera parah kepada  seorang lelaki berusia 63 tahun dengan cara menyimbah asid kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Choong Lye Hock, Tanjung Tokong dalam daerah Timur Laut, jam 11.20 malam pada 6 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Jun Keong tidak mencadangkan jaminan memandangkan mangsa masih dirawat di hospital akibat mengalami kecederaan pada muka, badan dan tangan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu diberikan jaminan minimum atas alasan mempunyai tanggungan seorang cahaya mata.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 16 Mac depan sebagai tarikh serahanan laporan perubatan.

Difahamkan tertuduh menyimbah asid ke atas rakannya susulan mangsa enggan meminjamkan wang kepadanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast