KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyuarakan kebimbangan terhadap perjalanan proses perundangan melibatkan seorang rakyat Malaysia yang kini ditahan di Toyama, Jepun, selepas dimaklumkan telah membuat pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan.
MalaysiaGazette difahamkan mangsa, Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani berusia 24 tahun sebenarnya diperdayakan sindiket pemerdagangan manusia.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, pihaknya menerima maklumat Faiq telah didakwa pada Januari lalu mengikut Seksyen 246 Kanun Keseksaan Jepun berkaitan kesalahan penipuan serta Seksyen 60 melibatkan kesalahan dilakukan secara bersama.
Menurutnya, perkembangan itu menimbulkan persoalan kerana MHO sebelum ini beranggapan Faiq masih berada dalam fasa siasatan dan belum melalui proses pendakwaan sepenuhnya.
“Kami pada awalnya menyangka kes ini masih dalam peringkat siasatan.
“Namun selepas bertemu dengan peguam bantuan guaman di sana, kami dimaklumkan pengakuan bersalah sudah pun direkodkan,” katanya pada sidang media MHO yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Kuala Terengganu, Hilmi Harun.
Kata Hishamudin, timbul persoalan adakah pengakuan tersebut dibuat dalam keadaan tertuduh benar-benar memahami kesan dan implikasi undang-undang yang dihadapinya, khususnya berkaitan hukuman serta peluang untuk membela diri.
“Persoalan utama ialah sama ada beliau faham sepenuhnya haknya, termasuk hak untuk mendapatkan nasihat daripada peguam yang dipilih oleh keluarga sebelum membuat sebarang keputusan penting,” ujarnya.

Hishamuddin berkata, kekangan bahasa turut menjadi isu utama memandangkan Faiq tidak fasih berbahasa Inggeris dan langsung tidak memahami bahasa Jepun yang menyukarkan pemuda itu mengikuti prosiding mahkamah dengan baik.
Menurutnya, keadaan itu boleh memberi kesan besar terhadap keadilan perbicaraan sekiranya tertuduh gagal memahami kandungan pertuduhan serta proses undang-undang yang sedang berjalan.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata beliau bersama Hilmi berlepas ke Tokyo pada 1 Februari sebelum meneruskan perjalanan ke Toyama sehari kemudian bagi menemui Faiq di balai polis, selepas temu janji diatur dengan pihak berkuasa Jepun.
Menurutnya, pertemuan tersebut berlangsung dalam tempoh yang sangat terhad dan tertakluk kepada beberapa sekatan ketat.
“Kami hanya diberi masa kira-kira 15 minit. Kami tidak dibenarkan menyentuh fakta kes, dan perbualan pula hanya boleh dibuat dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang pertemuan itu, setiap perbualan dipantau oleh pihak berkuasa dan mereka juga tidak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengan pemuda terbabit.
“Kami lihat beliau berada dalam keadaan tertekan, takut dan keliru. Jelas kelihatan beliau masih belum benar-benar memahami situasi yang dihadapinya,” katanya.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap kebajikan dan keadaan emosi Faiq sepanjang tempoh tahanan di negara asing tanpa sokongan keluarga terdekat.
Beliau berkata, MHO akan terus berusaha membantu keluarga pemuda itu mendapatkan maklumat terkini serta mencari ruang bagi memastikan pembelaan yang lebih adil dapat diberikan.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap pihak berkaitan, termasuk perwakilan Malaysia di Jepun, dapat memberi perhatian serius terhadap kes berkenaan supaya hak, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia itu tidak terabai sepanjang proses perundangan berlangsung. -MalaysiaGazette















